Friday, August 19, 2011

Orang Hunza makan untuk Hidup, bukan hidup untuk makan!



 HAMAYOON Baig, 102,  sedang berehat di rumahnya di Faizabad di Lembah Hunza yang terletak di kawasan Pergunungan  Himalaya, di utara Pakistan.
Udara sekitarnya sejuk dan nyaman. Cuaca masih berkabus meskipun matahari memanah terang. Pagi itu Hamayoon masih berselimut. Waktu siang, suhu sekitar 10-15 darjah celcius.
Lelaki ini pernah berkhidmat sebagai askar British selama sepuluh tahun dan kembali semula ke kampung halamannya bagi menghabiskan sisa hidupnya  sebagai peladang.
Hari itu, Hamayoon berpuasa. Amalan berpuasa setiap seminggu sekali menjadi amalan biasa puak Hunza. Sepanjang hari, Hamayoon berehat bagi menenangkan fikiran.
Esoknya, Hamayoon akan keluar bekerja seperti biasa. Biasanya Hamayoon bangun seawal pukul 5.00 pagi setiap hari.
Namun awal-awal pagi, Hamayoon tidak menyentuh sebarang makanan, sekalipun pada hari berkenaan dia tidak berpuasa.
Hamayoon keluar rumah dan berjalan kaki berbatu-batu ke kebunnya.  Bagi Hamayoon dan puak Hunza berjalan kaki sejauh 15 kilometer  hingga 20 kilometer  sehari, itu menjadi perkara biasa.
Rezeki awal Hamayoon,  cuma air mineral yang dibawa sudah cukup memberikan sumber tenaga. Air mineral itu di ceduk daripada mata air yang ditemui mengalir dicelah-celah perbukitan.
 Setelah berjalan berpuluh batu, barulah Hamayoon tiba di ladangnya. Hamayoon dan puak Hunza bergantung hidup terhadap alam semula jadi sebagai punca rezeki.
Hamayoon  menanam sendiri sayur-sayuran, memetik buah-buahan yang ditanam sebagai sumber makanan keluarganya.
Segala-galanya segar di Lembah Hunza. Makanan yang diproses supaya tahan lebih lama hanyalah buah-buahan kering yang dijemur bawah cahaya matahari dan hasil tenusu seperti keju dan mentega.
Tidak ada baja tiruan mahupun baja kimia yang digunakan dalam kebun Hamayoon dan penduduk Lembah Hunza.
Hamayoon juga tidak menggunakan sebarang racun makhluk perosak. Bahkan, racun perosak menjadi bahan larangan yang ditegah di Lembah Hunza!
Untuk menghalang serangga perosak mengganggu tanaman, Hamayoon menggunakan asap. Secara tidak langsung Hamayoon dapat melindungi tanamannya secara semula jadi.
Apa pula makanan Hamayoon dan puak Hunza? Hamayoon hanya makan dua kali sehari. Tengah hari
dan malam. Hidangan pertama hanya bermula pada pukul 12.00 tengahari, hidangan capati bersama kari kacang dal serta sayur-sayuran.
Pada sebelah malamnya, Hamayoon lebih gemar meminum susu, keju, tairu dan ayam. Kentang, kacang pis, lobak, bayam, salad, epal, buah pic, apricot, ceri, dan beri hitam termasuk sebagai diet harian Hamayoon.
Lelaki ini juga menggemari almond dan kacang apricot. Almond dimakan begitu saja atau dijadikan minyak sebagai resipi turun temurun.
Kebanyakan orang Hunza tidak gemar memakan daging sebagai diet harian kecuali sebagai hidangan istimewa apabila tiba majlis perkahwinan mahupun musim perayaan. 

Walaupun bukan semua penduduk Hunza mengamalkan diet vegetarian, penggunaan daging amat kecil sekali dalam piramid makanan mereka.
Hamayoon dan penduduk Hunza masih sihat afiat pada usia 100 tahun, boleh berladang dan berjalan kaki sejauh 15 kilometer sehari kerana amalan ini.
Kebanyakan kaum Hunza menganggap usia melebihi satu abad seperti Hamayoon bukanlah seorang tua seperti kita sangka tetapi masih muda remaja.
Menariknya, orang Hunza mengamalkan diet serupa digariskan oleh Hippocrates, bapa perubatan moden yakni, ‘makanan sebagai penawar terbaik kehidupan!’ 

Pertama: Jangan makan terlalu banyak melebihi keperluan. Orang Hunza hanya makan dua kali sehari.

Kedua: Jadikan sayur dan buah-buahan segar sebagai diet harian. Lebihkan makan sayur-sayuran mentah. Kurang kan makan daging.

Ketiga: Amalkan berpuasa seminggu sekali. Amalan berpuasa seminggu sekali yang diamalkan masyarakat Hunza berjaya merawat stres dan memberi ketenangan minda.

Keempat: Berjalan kaki sejauh 15 kilometer hingga 20 kilometer sehari. Itulah formula terbaik mengekalkan kesihatan sepanjang hayat amalan puak Hunza.


1 comment: