Wednesday, August 3, 2011

Desa Bulaksari 7 bebas asap rokok!





NUN jauh di sebuah Kampung Bulaksari 7 di ceruk Kecamatan Mampir, Surabaya, suasana begitu tenang pada siang hari. Kelihatan beberapa orang suri rumah sedang memampatkan surat khabar lama, kotak-kotak serta beberapa ikat naskhah majalah di laman rumah. Mereka akan membawa ikatan-ikatan kertas-kertas lama ini ke pekan untuk dijual kemudian hasil jualan lusuh ini akan disalurkan ke dalam dana untuk membangunkan kampung mereka.
            Di suatu kawasan lain kelihatan sekumpulan lelaki sedang membersihkan longkang, memotong rumput serta menanam pokok bunga sebagai hiasan. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, masing-masing tidak lokek tenaga membanting tulang sama-sama membangunkan kampung.


Ya, seluruh Surabaya dan sekitar Jawa mengetahui tetangga Bulaksari 7 begitu teguh perpaduan antara mereka. Setiap bulan ada saja pertemuan antara tetangga untuk bermesyuarat dan bertukar-tukar pandangan bagaimana untuk mengindahkan lagi persekitaran kampung mereka.
Malah, di sini, terbinanya sebuah warung yang diberi nama ‘Gotong-royong’ yang menjual makanan di mana perolehannya digunakan untuk membeli peralatan seperti cangkul, benih pokok, sabit dan pelbagai peralatan lain kegunaan penduduk kampung.

            Menurut salah seorang penduduk, Sri Winarti, semangat penduduk kampung semakin memuncak untuk menjadikan kampung mereka sebagai kampung terbaik setelah dijadikan projek kampung contoh oleh pemerintah Kota Surabaya.
            “Kelak suatu hari nanti kami bakal menjadikan kawasan kampung kami sebagai zon persekitaran paling indah dan paling bersih di Surabaya, malah di seluruh dunia!” kata Sri Winarti dengan yakin.
            Setelah dinobatkan sebagai kampung contoh, pada suatu hari ketua kampung tersebut, Heru Subijanto mengusulkan impiannya untuk menjadikan persekitaran kampungnya bebas daripada asap rokok.
Heru Subijanto

            Misinya menjadikan kampungnya bebas asap rokok seakan mustahil kerana kebanyakan penduduk Kampung Bulaksari 7 merupakan perokok tegar.      Namun, dengan bantuan isterinya, mereka menyampaikan mesej bahaya asap rokok kepada golongan isteri dengan harapan golongan isteri ini tadi memujuk suami mereka berhenti merokok.

Atas usaha yang berlanjutan, sedikit demi sedikit penduduk kampung dapat menerima saranan Heru Subijanto. Akhirnya dalam masa tiga tahun, sebanyak 65 keluarga bersetuju untuk berganding bahu menjadikan kawasan kampung mereka sebagai bebas merokok.
Lalu papan tanda zon bebas merokok mula didirikan di kawasan kampung. Sebaik saja melangkah di pintu gerbang kampung berkenaan, pelawat disajikan dengan papan-papan tanda amaran bahaya merokok dan kesan-kesan merokok kepada generasi seterusnya.
Bekas abu rokok besar turut diletakkan di penjuru pintu gerbang bersama dengan kain rentang tercatat amaran: ‘Matikan rokok anda di sini!’ sebagai simbolik tiada lagi asap rokok di kampung mereka.

Bagi merealisasikan impiannya, Heru turut membuat petisyen untuk menghalang perniagaan berunsur tembakau dijual di kawasan kampung. Hasratnya diterima oleh peruncit-peruncit walaupun tembakau merupakan salah satu punca pendapatan peruncit-peruncit berkenaan.

            Tanggal 12 Disember 2010, Kampung Bulaksari 7 dimasyhurkan sebagai perkampungan bebas asap rokok oleh Datuk Bandar Tri Risma Harini.
Namun begitu, terdapat beberapa penduduk yang masih merokok secara rahsia di kebun atau di laman rumah tetapi dengan nasihat berterusan dan pendidikan terhadap bahayanya merokok kepada kesihatan penduduk lain, perokok-perokok ini tadi terpaksa melepaskan gian mereka di luar kawasan kampung.

            Heru menceritakan, dia pernah disuruh mencuba merasai sendiri bagaimana untuk menikmati rokok yang dibeli isterinya.
            “Saya mencubanya, langsung tak ada nikmat! Pelik, bagaimana orang bisa ketagih rokok!” beritahu Heru dengan wajah jijik seperti dilaporkan VHRmedia.
heru bersama anugerahnya

            Berkat kebijaksanaan Heru Subijanto dan penduduk kampungnya memperhebatkan kempen zon bebas merokok akhirnya telah mendapat pengiktirafan.
Pada awal Julai 2011 yang lalu Heru Subijanto dan Kampung Bulaksari 7 dianugerahkan Plazmokefree oleh Hotel Plaza Surabaya yang mengiktiraf individu atau perkumpulan yang berkempen bahaya tembakau.
Menariknya usaha Heru itu dipilih sebagai pemenang utama sekali gus mengetepikan beberapa penyertaan organisasi lain kerana dilihat kempennya menyasarkan kumpulan masyarakat bersepadu serta paling berjaya.
            Nah, anda lihatlah sendiri! Walaupun hanya berkedudukan jawatan sebagai seorang budak pejabat, namun apabila diberi mandat sebagai seorang ketua kampung, Heru dengan penuh amanah menggunakan kuasanya dengan bijaksana untuk memajukan serta melakukan sesuatu untuk komunitinya.
            Adakah tok empat dan ketua-ketua kampung di negara kita yang membaca artikel ini teringin hendak mengikut jejak murni Heru Subijanto dan Kampung Bulaksari 7?

KLTHUGS: Pernah berhenti merokok suatu ketika dahulu. lepas tu merokok semula dengan kadar dua kali ganda.. gila! Pernah mendapat pesanan dari abang sepupu, 'kalau nak berhenti, berhenti terus'

No comments:

Post a Comment