Mail ini sengaja memerli aku. Sebenarnya memang aku tidak menelaah buku, aku sedang menghabiskan sisa-sisa pembacaan komik penjelajahan ninja yang aku pinjam daripada budak bilik dorm sebelah. Aku ini kalau bab pinjam meminjam memang suka. Maklumlah, budak-budak sekolah, mana ada wang lebih nak berbelanja yang bukan-bukan. Mak dan abah beri wang saku, tapi hanya cukup makan, top-up telefon bimbit, dan tambang pulang ke rumah pada waktu cuti sekolah hujung minggu.
Ding!
Jam di dinding sudah menunjukkan jam 1.00 pagi. Sehelai demi sehelai muka surat aku selak. Seronok betul, keadaan sangat sunyi dalam bilik dorm aku. Teman-teman sebilik aku masing-masing sudah hanyut dibuai mimpi. Tiada gangguan langsung! Kalau tidak, masa ini masih rancak dengan pillow talk, main daun terup sambil makan biskut kawan-kawan, main karom, main gitar dan macam-macam aktiviti lain yang sudah pasti tak ada kaitan dengan pelajaran. Ini semua gara-gara pelajar senior yang bercerita tentang kisah nenek merbok kepada kami tempohari.
Menurut senior yang bercerita kepada kami, sekiranya ada di antara putera-putera mahupun puteri-puteri yang masih tak tidur sehingga lewat pagi, nenek merbok akan datang masuk ke bilik dorm dan mengganggu dengan menegur setiap orang yang masih belum tidur lagi. Kemudian, nenek merbok akan ketawa terkekek-kekek, macam burung merbok juga. Menurut senior, kepada senior, kepada senior yang entah kumpulan senior ke berapa.
Kah! Kah! Kah! Sungguh kelakar terkenangkan cerita senior aku tempohari. Adakah patut nak takutkan pelajar-pelajar junior dengan cara begitu? Sudahlah namanya nenek merbok, tak komersil langsung! Ketawa mengekek macam burung merbok? Burung mana pandai ketawa!
Kah! Kah! Kah!
Aku terus menyambung pembacaanku di atas katil sehingga ke helaian mukasurat yang terakhir. Selepas menyusun kembali komik-komik di atas meja, aku kembali ke katil semula.
Ding! Dong!
Jam di dinding sudah menunjukkan jam 2.00 pagi. Mataku masih belum mengantuk. Aku tak biasa lelapkan mata dengan keadaan terang begini. Lalu aku bangkit dengan malas sekali menuju ke suis lampu yang terletak di dinding sebelah pintu masuk bilik dorm ini.
“Ha, barulah boleh tidur macam ni. Apalah kau ni Mail, badan saja besar macam badak, tapi pengecut macam tikus! Dengan nenek merbok pun takut” sempat aku mengusik Mail walaupun aku tahu dia sudah berdengkur dan berselubung dalam selimut. Begitu juga dengan yang lain-lain. Masing-masing sudah lena dibuai mimpi, hanya aku seorang diri yang masih belum lena.
Keadaan bilik yang terang benderang tadi sudah bertukar gelap gelita. Aku bergolek ke kiri, ke kanan. Malangnya aku masih belum mengantuk. Ahh, apa aku nak buat ni? Rakan-rakan yang lain sudah berlayar jauh dalam tidur mereka. Aku pula masih mencari kayu untuk bina bahtera. Tiba-tiba aku teringat kisah nenek merbok. Kenapa agaknya cerita dongeng sedemikian yang mereka jaja untuk menakut-nakutkan pelajar junior ya? Tiba-tiba terdetik dalam hatiku, apakata jika kisah nenek merbok yang menjadi bualan sepanjang seminggu ini adalah kisah benar?
Bulu romaku tiba-tiba meremang. Tenang Apai, jiwa kau kental. Kau kalis cerita seram sebegini. Mana mungkin kisah nenek merbok itu kisah benar? Aku memujuk diri agar bertenang. Apai anak jantan!
Ding! Dong! Ding!
Jam di dinding sudah berbunyi lagi! Kali ini jam sudah menunjukkan jam 3.00 pagi. Sayup-sayup kedengaran bunyi ayam berkokok. Arghhh! Mataku masih belum tertutup! Aku masih belum mengantuk. Mana tak mengantuk, pulang dari padang selepas bermain bola sepak petang tadi aku terus tidur. Nasib aku baik pula hari ini warden asrama kami tidak meronda bilik ke bilik. Itu yang menyebabkan aku terlena sampai terlepas waktu isyak.
Sedang aku bermonolog sendirian, tiba-tiba angin bertiup agak kuat dari luar. Sejuk, aku terus menarik kembali selimut. Tiba-tiba, aku terdengar sesuatu sedang terbang kearah tingkap. Apa yang aku pasti ‘sesuatu’ yang terbang tadi adalah burung.
Kepala aku mula berlegar-legar dengan persoalan. Burung apa yang terbang pagi-pagi begini? Tiba-tiba, angin bertiup kuat semula. Kali ini aku sudah mula rasa seram sejuk. Bulu roma tak usah cakaplah, memang dari tadi sudah meremang.
Ehem! Ehem!
Tiba-tiba aku terdengar suara berdehem dari suatu sudut di dinding membelakangkan kepala katil. Aku tersentak. Kaki aku sudah mula menggigil-gigil. Aku mahu toleh ke belakang dan mengintai, siapakah kelibat yang batuk di belakang? Tiba-tiba suara itu senyap dan mengekek ketawa.
Ekekekekeke..!!
Aduh! Kali ini aku betul-betul sudah ketakutan, mungkinkah ini suara…
“Satu…!! katil satu dah tidur.. Dua..!! katil dua dah tidur…” Oh! tidak..!! tiba-tiba kedengaran suara dari sudut dinding tadi bersuara pula! Jangan-jangan ini adalah suara…
“Tiga…!! Eh? Katil tiga tak tidur lagi..?Kenapa katil tiga tak tidur lagi?? Ekekekekekeke!!” Ya, inilah suara nenek merbok!! Makin lama makin kuat kedengaran kekekan nenek merbok!
Ekekekekekeke! Ekekekek!
Tidak! Aku terus tekapkan bantal pada mukaku. Tetapi makin lama, suara nenek merbok makin kuat terkekek-kekek ketawa!
“ Katil tiga..? tak tidur lagi..?? ekekekekeke…”
Jantung aku berdegup laju.. aku paksa tutup mata. Debaran dadaku makin lama makin kuat, makin lama jantungku seakan bunyi deram. kuatnya sehingga aku sendiri menahan dada. Aku takut nenek merbok tahu aku masih tak tidur lagi. Kalau nenek dengar debaran jantung aku habislah!
Dug! Dug! Dug! DUG! DUG!DUG!
Tolong la nenek! Aku dah tidur! Janganlah datang…
EEEkekekekek!! Ekekekeke… suara nenek merbok ketawa makin lama makin kuat! makin dekat dengan telingaku.. sudah.. apa pula nak jadi lepas ni? Tolong…
“Tolong! Jangan ganggu aku! Tolong! Tolong! Mail, tolong! Ampunkan cucu nek! Ampun!! AMPUN!!”
SWOOSSH....... !!! Kah! Kah! Kah! Kah!
Tiba-tiba badanku terasa seperti disimbah air. Apa lagi, melompatlah aku dari katil. habis basah lencun badan aku. Tiba-tiba di depanku berdiri seseorang, bukan seorang nenek tua. Tetapi orang yang aku gerunkan selama ini. Cikgu Shukor, warden Asrama kami. Siap berkopiah dan berkain pelikat. Sebelah kanan tangannya memegang baldi manakala sebelah kiri tangannya memegang rotan panjang.
Di sekeliling katil pula penuh dengan kawan-kawan seasrama. Masing-masing seperti baru balik dari surau. Memandangku sambil ketawa berdekah-dekah!
Ah sudah! Aku lihat seluruh tubuhku, masih memakai baju sukan. Sah aku mengigau lagi.“Kamu panggil saya nenek? Wah, bukan main lagi kamu ya? Sudahlah tidur petang, melangkau pula waktu maghrib dan isyak, kemudian panggil saya nenek pula! Lekas, hulur punggung kamu.”
Piap! Piap! Piap!
Artikel ini adalah karya penulis untuk koleksi cerita seram "Ghaib! 2 :Fenomena yang menjadi misteri.. " terbitan TintaRona Publication Sdn Bhd 2011.
KLThugs: Credit goes to saudara Salehudinayub Abd Latif, bestfriend gua yang share cerita ni masa menuntut di RMC.. oldboys kan... haruslah banyak cerita seram camni!!
Mak aih.. kalau gua maunya terkencing ni bro.. best!!!
ReplyDeletehahahahahahaaaa... klakar2... zaman2 asrama dulu mcm2 citer seram... heheheee
ReplyDeleteaku mati-mati ingat kisah benar.. aiseehhhh! gua ditipu .. -.-"
ReplyDeleteSayepon
DeleteKalau aku pengsan kot yelah tetiba kena simbah ngan air..
ReplyDelete