MALAM itu saya ke Shah Alam untuk menghantar alat ganti komputer ke sebuah kedai. Alat ganti yang saya bekalkan tidak banyak dan bukanlah alat ganti yang besar. Kebanyakannya adalah alat ganti kecil dan beberapa jenis aksesori komputer yang lain seperti thumb drive, external hard disk ataupun pengecas bateri komputer riba. Menariknya, semua barang-barang ini adalah barang curi yang saya ambil dari kedai pembekal tempat saya bekerja. Keuntungannya amatlah lumayan. Sepanjang setahun saya melakukan kerja haram ini, saya tidak pernah tertangkap dengan bos saya.
Setelah meletakkan semua barangan ke dalam kotak motosikal, saya terus menghidupkan enjin motosikal bergerak melalui Jalan Hang Tuah dan terus masuk melalui Jalan Istana untuk susur keluar terus ke Lebuhraya Persekutuan. Seperti biasa, saya menggunakan laluan sikal sepanjang perjalanan saya. Saya terus tunggang motosikal empat lejang kepunyaan saya dan terus menuju ke destinasi. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Shah Alam mengambil masa kira-kira 25 minit.
Apabila sampai sahaja ke destinasi pada jam 10.45 malam, pemilik kedai tempat saya bekalkan barangan komputer tersebut sudah tersenyum menyambut kehadiran saya. Kebiasaannya saya hantar barang-barang pada kedai tersebut pada malam Khamis. Oleh kerana pada minggu ini Rabu adalah cuti umum, saya menghantar pada hari Khamis. Setelah memberikan alat-alat ganti tersebut, saya memperoleh bayaran seperti yang telah dijanjikan.
“ Wan, mari minum, saya belanja You.. ini malam ada promotion ladies night di Pub. Mari temankan I minum? Lepas minum you pulanglah, esok you cuti kan?” ajak pemilik kedai tersebut setelah menyerahkan wang. Saya mengangguk tanda setuju. Bukan senang tauke kedai ini nak keluarkan wang untuk belanja saya minum. Selepas memarkir motosikal dihadapan kedainya, saya berjalan bersamanya menuju ke pub.
Lokasi pub tidak jauh dari premisnya. Dipendekkan cerita, selepas minum, saya pulang ke rumah. Selepas bersalaman dengannya, saya memecut motosikal menuju ke lebuh raya. Saya melihat jam tangan, sudah hampir pukul dua pagi. Sudah lewat. Jalan-jalan seluruh Shah Alam sudah mula lengang. Sebaik saya memasuki lorong motosikal, saya perasan, meter minyak sudah menunjukkan pada ‘E’. Saya terus berhenti mengisi petrol di sebuah stesen minyak terdekat. Stesen minyak tersebut lengang. Sebaik saja selesai mengisi petrol, tiba-tiba kelihatan dari jauh lampu yang agak malap menuju ke stesen minyak yang sama. Motosikal jenis cup berwarna merah tersebut amat daif keadaannya, ditunggang pula oleh seorang lelaki tua dengan baju putih compang camping serta helmet berwarna kuning lusuh. Dalam hati saya tertanya-tanya ke mana agaknya arah tujuan lelaki tua ini. Dari raut wajahnya jelas menunjukkan lelaki ini sudah tua, dengan kedut di muka dan wajah yang muram. Perlahan-lahan lelaki tua ini berjalan menuju ke kaunter bayaran.
Saya tinggalkan persoalan tersebut di stesen minyak kerana harus segera pulang. Saya terus menghidupkan enjin setelah mengisi petrol. Saya meluru masuk semula ke laluan motosikal. Dalam fikiran saya sudah terbayang sebuah kereta idaman saya kerana lagi beberapa bulan, dapatlah kumpul wang untuk saya bayar pendahuluan kereta.
Lorong motosikal begitu gelap sekali. mujurlah lampu motosikal saya agak baik pencahayaannya. Dapatlah saya mengelak beberapa lopak yang saya rasa sudah bertahun-tahun tidak diselenggarakan. Sedang asyik saya menunggang, kelihatan jauh lampu brek malap di hadapan saya. Apabila motosikal tersebut berada di hadapan, saya terus memotong, dengan selambanya. Setelah saya potong motosikal tersebut, dada saya terus bergerak kencang. Perasaan gerun terus menyelubungi saya.
Saya tersentak, motosikal yang baru saya potong tadi sama seperti motosikal yang saya lihat di stesen minyak. Pakcik tua, berbaju putih compang camping menaiki motosikal jenis cub. Tak mungkin! Mustahil!
Ahh! Itu semua igauan saya saja! Ini mungkin pak cik yang lain pula. Haha.. saya terus pecut motosikal saya ke hadapan. Tiba-tiba saya terbau sesuatu yang harum pula. Bau harum seperti bunga. Ha, kali ini bukan saja dada saya berdebar, tetapi seluruh tengkuk saya sudah meremang-remang!
Orang kata, kalau kita terbau harum, ada ‘sesuatu’ menghampiri kita. Ya Allah, takutnya! Sudahlah banyak pokok-pokok besar di sebelah kiri jalan. Kenapalah pihak berwajib negara kita ini menanam pokok-pokok besar di tepi-tepi jalan? Aduh! Bagaimana kalau ada langsuir yang bertenggek atas pokok tiba-tiba lapar menerkam penunggang motosikal? Bukankah kes naya tu?
Sedang saya bermonolog dan menunggang di lorong motosikal yang gelap tersebut, keliahatan lampu brek berwarna merah malap sekali lagi di hadapan saya. Oh, tidak! Kelajuannya sama seperti motosikal yang baru sebentar tadi saya potong. Kali ini saya memberanikan diri memotong dengan perlahan-lahan.
Motosikal jenis cup berwarna merah, sama seperti saya lihat tadi. Pakcik tua berpakaian compang camping, sama seperti saya lihat tadi dan yang paling penting, helmetnya juga sama. Berwarna kuning lusuh! Kali ini, pakcik tua itu tadi sempat menoleh dan melemparkan senyuman pada saya. Wajahnya amat menakutkan! Matanya terbeliak seperti mahu terkeluar biji mata! Tanpa membuang masa saya terus memecut motosikal saya sehingga hilang dari pandangan cermin sisi.
Badan saya sudah berpeluh-peluh, walhal angin tongkahan arus amat sejuk sekali. sebaik melepasi menara TM di Kerinchi, kali ini dugaan yang lain pula terjadi, motosikal saya tiba-tiba terasa begitu berat. Kalau tadi saya tunggang melebihi 120km sejam, jarum penunjuk meter saya sudah turun ke 30 km sejam, padahal saya sudah pulas minyak pada kelajuan maksima!
Saya jeling pada cermin sisi, saya amat terkejut! Rambut saya tiba-tiba kelihatan panjang berjurai-jurai. Tuhan saja tahu betapa takutnya saya pada waktu itu. Puas saya pulas minyak, tetapi motosikal saya masih terasa berat. Saya amat yakin, ada ‘sesuatu’ yang menumpang saya.
Saya tekadkan hati. Saya membaca ayat kursi dan ayat-ayat lazim serta berselawat. Setelah beberapa ketika, akhirnya motosikal saya berfungsi seperti biasa. Saya terus pecut motosikal pulang ke rumah. Tanpa membuka kasut, saya melompat terus ke atas katil dalam bilik teman serumah saya dan terus menyelubung di dalam selimut. Tubuh saya menggigil, saya pejamkan mata rapat-rapat. Rakan serumah saya terkejut dengan perlakuan saya, segala pertanyaannya tidak saya hiraukan, saya amat ketakutan!
Artikel ini adalah karya penulis untuk koleksi cerita seram "Ghaib! 2 :Fenomena yang menjadi misteri.. " terbitan TintaRona Publication Sdn Bhd 2011.
KLThugs: Cerita ni berdasarkan pengalaman rakan gua yang berlaku kira-kira 3 tahun lalu beb!
cerita ni lebih kurang macam cerita hamba.. tapi berlaku dengan keadaan berbeza, hamba naik kereta, lokasi bulatan kampung pandan sebelum direnovate!!ngeri boss!!
ReplyDelete