"Jaga Baikkk... T-Rex datanggggg!!!!!" |
HAIIIIIIII...!!!! Saya HERO!!! |
Oleh: Mohd. Nazirul Afiq Ismail
Ruang masa sekitar bulan Mei 2005
HAIREY melihat jam tangannya. Sudah hampir pukul 2.00 petang. Sampai masanya dia kembali bertugas. Hairey menghidupkan enjin motosikalnya dan terus menunggang keluar dari simpang Taman Jaya, Semenyih dan terus meluru ke jalan besar. Fikirannya menerawang jauh.
Lagi tiga bulan dari sekarang hari yang bersejarah buatnya akan tiba. Kadang-kadang kepalanya kusut memikirkan apakah akan dialaminya setelah bergelar suami nanti? Mungkinkah dia akan melalui fasa terindah setelah lengkap fitrahnya sebagai seorang manusia sebaik diijab kabul?
Hairey mesti simpan duit! Bulan ni dia terpaksa ikat perut. Mungkin gaji masuk lewat. Maklumlah baru dua minggu dia bertugas di tapak projek di Semenyih. Hairey masih hijau dengan pengurusan di tempat baru. Boleh jadi gaji masuk separuh? Rumah pun baru saja disewanya. Hmm... bulan ni memang Hairey kena kerja keras!
Matahari terpacak betul-betul di atas kepalanya. Berkali-kali dia terbatuk kerana tekaknya kering. Pancaran matahari terlalu terik. Peluh jantan sudah meleleh dari celah lehernya.
Kehangatan bahang tar jalan yang membara, membuatkan Hairey tewas untuk segera memulas minyak terus ke tempat kerja. Dia membantutkan perjalanannya sebentar untuk ke pejabat. Hairey perlu singgah sebentar ke kedai runcit. Hanya air sejuk yang berada dalam peti ais di kedai runcit itu sahaja yang mampu melegakan rasa hausnya.
Hairey beri signal ke kanan sebaik deretan kedai itu sudah hampir. Sebaik sahaja dia berhentikan motosikalnya, mata Hairey teralih ke arah sekumpulan budak sekolah menengah yang sedang berkerumun asyik memandang ke lantai kaki lima hadapan kedai.
Perasaan ingin tahu Hairey menebal. Dari riak wajah budak-budak yang baru mencapai akil baligh itu menunjukkan mereka memerhatikan sesuatu yang luar biasa. Hairey berjalan menuju ke arah kumpulan remaja tersebut.
Alangkah terkejutnya Hairey apabila menyaksikan seekor kucing berwarna putih bertompok sedang berdarah. Lebih memilukan hatinya apabila dilihatnya kedua-dua kaki depan kucing itu kudung akibat dipotong!
“Eh... eh, dik, ni kenapa ni, dik?” Hairey terus menggelabah apabila melihat kucing itu terbaring lemah. Berkali-kali kucing itu mengiau-ngiau seakan minta simpati.
“Tak tahulah bang, tadi ada seorang lelaki campak kucing ni. Waktu lelaki tu campak kucing ni dia kata kucing ni bawa sial kat kedai dia!” kata salah seorang remaja tersebut.
Mata Hairey tertumpu pada jasad kucing tersebut. Dari riak wajah kucing itu tergambar betapa rasa sakit dan perih malang yang menimpanya. Darah dari kedua-dua belah kakinya masih menitis. Berkali-kali kucing putih itu menelentang dan menguit-nguit kakinya yang sudah kudung. Mungkin kucing itu sedang menahan kesakitan, getus hati Hairey. Entah keparat mana yang berhati binatang sanggup melakukan perkara terkutuk sebegini... Ahh! Kejammmm! Kejammmmmm!
“Miauuu... Miauuu... Miauu!! Miauuuu... Miaaaaaauu! Miau! Miau!”
Kucing putih itu terus mengiau dan mengerang kesakitan. Badannya menggigil-gigil kesakitan. Matanya berkaca, memandang sekeliling dengan wajah yang begitu sayu. Kucing itu menoleh ke kanan kemudian mengiau. Kemudian menoleh pula ke kiri, mengiau lagi. Beberapa kali anak kucing itu tunduk ke lantai, kemudian mendongak dan mengiau-ngiau tanpa henti. Suaranya lemah dan bergetar. Mungkin dalam benak kucing itu sudah membayangkan malaikat maut sudah hampir dan bakal mencabut nyawanya sebentar lagi.
Jiwa Hairey bergelojak dibuatnya. Terbantut rasa haus apabila menyaksikan haiwan comel itu sedemikian rupa. Tanpa berfikir panjang Hairey segera mengambil jaket yang berada dalam raga motosikalnya. Hairey berjalan dengan hati sebak ke arah kucing yang masih berdarah itu. Dibentang jaket lusuhnya di sebelah haiwan berbulu halus itu. Perlahan-lahan Hairey memegang kucing yang sudah parah itu dan mengangkat tubuhnya dari belakang. Kucing putih mengiau-ngiau lagi. Makin lemah dan makin perlahan ngiaunya.
“Bismillah... Aku angkat kau ya kucing malang, jangan menangis lagi, hero tak menangis, kan? Tak apa, aku bawa kau jumpa doktor ya...” Seakan memujuk, dengan perlahan Hairey mengangkat kucing putih itu dan diletakkan ke atas jaket lusuhnya. Tanpa disedari, matanya mula bergenang.
Hairey terus mengangkat kucing malang itu dan terus memasukkan ke dalam raga motosikal. Sebaik menghidupkan enjin, hatinya terdetik lagi.
Baru dia teringat wang di dompetnya sedang nazak. Kalau dibawa kucing ini bertemu veterinar untuk dirawat, sudah pastinya khidmat doktor haiwan mesti dibayar. Dengan keadaan ekonominya yang serba terhimpit ini, duit yang berada dalam dompetnya tidak boleh dibelanjai sewenang-wenang.
Ya, Hairey tak kisah kalau tak makan sekalipun, tetapi andai kata esok lusa motosikalnya buat ragam, ataupun berlaku kecemasan, dengan siapa dia perlu minta bantuan? Ahh... dugaan... dugaan!
“Maafkan aku hero, aku bawa kau pulang saja ya? Tak apa, aku ada... aku akan jaga kau,” kata Hairey dengan air mata yang berlinangan. Dia terus menunggang motosikalnya menuju ke rumah.
Sebaik tiba di rumah, tanpa banyak bicara Hairey segera mencari botol kecil yang berisi minyak sapu berwarna hitam pekat dalam almari rumahnya.
Hanya minyak hitam itu sahaja harapannya selain doa yang dipanjatkan kepada Allah agar kucing malang itu terus bernafas tanpa mengalami pendarahan teruk.
Hairey duduk menghadap kucing malang itu yang diletakkan di tengah rumah. Kucing itu masih menggigil kesakitan dan mengiau-ngiau dengan lemah. Hairey membuka tutup botol dan menuang minyak penawar hitam pekat itu ke atas tapak tangannya yang telah dikotori darah. Dengan lembut dia menyapu minyak berwarna hitam pekat dan melekit itu pada kaki kucing itu. Air matanya berlinangan lagi apabila melihat isi pada kaki haiwan malang itu.
“Mari sini aku sapukan minyak gamat pada kaki tu. Tahan ya sikit... Hero mesti tahan rasa sakit!” pujuk Hairey lagi. Selepas menyapu minyak, Hairey membersihkan badan kucing itu daripada darah.
Kemudian dia mengusap manja kucing yang baru dirawatnya tadi. Dibelai-belai bawah dagu, diusap-usap kepala kucing malang itu. Hairey terus merawat kucing itu dengan minyak berwarna hitam pekat dari sehari ke sehari.
Dia memberi kucing itu makan dan membelainya. Dari sehari ke sehari jugalah dia melihat perkembangan kaki kucing yang berdarah hinggalah lukanya kering dan berkuping, sehinggalah...
Ruang masa sekitar September 2011
“HEROOOOOO!! Herooo!!!” Hairey terjerit-jerit memanggil Hero yang asyik menguit-nguit dan menjilat tubuhnya. Dikerling Hero dari hujung anak matanya.
Meskipun kedua-dua belah kaki Hero kudung tetapi kini dia sudah sembuh sepenuhnya dari tragedi malang yang menimpanya, enam tahun lalu. Hero kini bukan saja sudah sihat tetapi menjadi seekor binatang ajaib di dunia.
Biarpun Hero tanpa dua belah kaki tetapi dia dapat melompat dan berjalan serta bermain. Keletahnya menghiburkan Hairey sekeluarga. Kemudian Hairey terus memfokuskan penglihatan pada komputer ribanya. Diteliti satu-satu perkataan yang terbit dari skrin komputer ribanya.
‘Allah memanjangkan nyawa kucing tersebut... dan, Allah juga telah memberi takdir kepada kucing tersebut untuk mendapat penjaga yang sanggup dan bertanggungjawab utk menjaganya... menitis air mata aku tengok kucing ni...’
Hairey tersenyum apabila membaca kata-kata yang ditinggalkan oleh pelayar Internet yang menonton videonya. Hatinya terasa kembang... Kemudian dia mengamati komen yang lain dalam bahasa Inggeris pula.
Oh my god!! The poor cat... I cried while watching this... May god bless u both for rescuing & taking care of ‘HERO’.
Kali ini Hairey menitiskan air matanya. Hairey tidak menyangka video yang dimuat naik ke dalam laman sesawang Youtube mendapat perhatian rakyat Malaysia.
Lebih 200 ribu orang telah menonton sejak bulan Jun 2010 dengan tajuk ‘Kucing Dipotong Kaki Kerana Mencuri Ikan’.
Hairey membelai Hero sambil dilihat Along dan Angah.. Kejap! Kejapp!! mana satu Along, mana satu Angah?? ngeee... |
“Ayah... ‘Iyo’ (Hero) nak makan...” Angah mendukung Hero dan membawa ke pangkuan Hairey. Hairey menyambut Hero dari tangan anaknya yang masih kecil itu.
“Iyo nak makan ke ayah...??” Along sedari tadi duduk membelai Intan Payung bertanya kepada Hairey. Hairey hanya tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala. Geli hati Hairey apabila mendengar kedua-dua anak kembarnya menyebut Hero dengan ‘Iyo’. Maklumlah, kedua-dua anaknya itu baru berumur tiga tahun lebih, lidah pun masih pelat nak sebut hero.
“Belum lagi sayang... Kejap lagi kita bagi ‘Iyo’ makan dengan Hector, dengan Intan Payung, Boboi, Baby, Paris dan yang lain-lain sekali ya?” kata Hairey kepada kedua-dua anak kembarnya itu.
Hatinya tersentuh apabila melihat kedua-dua anaknya itu membelai kucing-kucing jalanan yang dibelanya itu dengan penuh kasih sayang.
Ada di antara kucing-kucing yang dikutipnya berada dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Hector misalnya, dijumpai di jalanan dengan kesan pada perut yang berparut akibat dicurah air panas.
Seekor lagi, Baby, pernah makan puntung rokok di hadapan matanya. Sebak hati Hairey mengenangkan nasib kucing-kucing jalanan ini. Mereka juga berhak hidup.
Ya, anak-anak kecil ini harus dididik dan disemai perasaan kasih terhadap binatang. Begitu juga dengan rakyat Malaysia pada amnya. Sambil mengusap-usap kepala Hero, Hairey menulis blognya. Kemudian dia mengambil gambar Hero memanjat tangga menggunakan telefon bimbit.
Hero, kucing jalanan yang kudung akibat dipotong oleh manusia durjana itu dijadikan sebagai simbol kekejaman manusia terhadap binatang. Dia berazam blog tulisannya mendidik agar generasi baru tidak akan mengulangi kekejaman yang berlaku terhadap Hero.
Nota: Hairey, 32, atau lebih dikenali sebagai Papa Hero (PH) dalam blog kendaliannya iaitu kakimotong.blogspot.com merupakan individu mulia yang menyelamatkan kucing malang yang diberi nama sebagai Hero.
Sebagai warga prihatin, anak muda ini menjadikan blog, video, laman rangkaian sosial sebagai medium untuk kempen kesedaran terhadap keganasan manusia terhadap binatang. Bagi Hairey, binatang seperti kucing perlu diberi perlindungan sewajarnya. Pendera terhadap binatang pula satu bentuk jenayah yang perlu dikenakan hukuman setimpal.
Syabas, Hairey! Semoga usaha Hairey dapat menanam sifat cinta pada binatang subur di hati generasi celik IT! Marilah kita semua lindungi kucing, haiwan kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. ini.KLThugs: Hasil nukilan gua untuk Mastika November 2011.. Alhamdulillah feedback yang sangat hebat dari masyarakat yang cintakan haiwan lepas cerita ni publish di Mastika. Tak sangka, ramai sungguh yang meleleh airmata baca keprihatinan insan mulia seperti Papahero. Lagi best, Utusan, TV3 dan Selamat Pagi Malaysia cover lagi pasal Hero. Tahniah PH!! Buat petknode, lu orang sangat fakapp!!
foto kredit: fauzi utusan
sy menyukai Mastika kerna ada wartawan NAZIRUL AFIQ!!!!
ReplyDeleteterima kasih Nazirul :)
ReplyDeleteAssalamualaikum tuan rumah,
ReplyDeleteSebuah kisah yang sangat menyentuh hati, tahniah pada papa hero dan setinggi penghargaan pada Nazirul yang mendokumentasikan 1 sejarah yang terlakar di hati manusia yang menyentuh jiwa. Semoga Allah memberkati kalian yang baik hati
Kak share cerita yang hebat ni di facebook kak, semoga cerita ini menjadi inspirasi pada rakyat Malaysia agar selalu hidup dalam berkasih sayang
:-)
Assalamualaikum tuan rumah,
ReplyDeleteTahniah pada papa hero dan jutaan terima kasih pada saudara Nazirul yang mendokumentasikan cerita ini dan terlakar di hati rakyat Malaysia.
Semoga Allah merahmati dan selalu melindungi kalian berdua. Kak share cerita ini di facebook agar menjadi sumber inspirasi dihati rakyat Malaysia agar selalu hidup dalam berkasih sayang.
Teruskan usaha murni kalian.
:-)
terima kasih kerana menyukainya.. puan boleh share di facebook dan ikut blog saya kalau suka.. klik 'follow' :)) terima kasih kembali!
Deletehati sebak,mata tidak henti2 mengeluarkan air mata..sedih hati saya xdapat nak diungkap dgn kata2.semoga ALLAH membalas kebaikan PH membela,menjaga sepenuh hati,jiwa dan raganya..amin.....
ReplyDeleteGod Bless You , Kindness Matters , Heaven Is The Place For You.
ReplyDeleteMengalir air mata saya bila membaca kisah ini. Walaupun saya dah berkali2 melihat video hero dan Papa Hero. Semoga segala usaha Encik Hairey akan terlaksana, amiin.
ReplyDeleteLaknatullah yang memotong kaki Hero
ReplyDeleteAir mata q mengalir trus kalo keinget cerita dan video si hero kucing malang yg bertemu si papa hero yg berhati mulia, sungguh kejam yg memotongnya, tidak layak di sebut sebagai manusia. Kini si hero sdah tenang di alam sana, dan semoga papa hero di berikan umur panjang dan di curahkan rizky yg melimpah...
ReplyDeleteAir mata q mengalir terus kalo ke inget cerita n video si hero kucing malang yg di temukan papa hero yg berhati mulia, sungguh kejam yg memotong tidak layak di sebut manusia. Sekarang hero sudah tenang di alam sana. Semoga papa hero di panjangkan umurnya dan di curahkan rizky yg melimpah. Amin...
ReplyDeleteseharusnya bukan kucing yang harus di potong tangan karena mencuri,
ReplyDeletetetapi manusia yang harus di potong tangannya karena mencuri.
seperti koruptor, maling dll.
salam saya untuk hero
seharusnya bukan kucing yang harus di potong tangan karena mencuri,
ReplyDeletetetapi manusia yang harus di potong tangannya karena mencuri.
seperti koruptor, maling dll.
salam saya untuk hero
ORANG YANG POTONG TANGAN KUCING NI MEMANG TAK SEDAR DIRI.DIRI SENDIRI TAK RETI BERFIKIR MANA YANG BERDOSA DAN YANG MANA TAK BERDOSA.ORANG MACAM KAU LAYAK AKU POTONG TANGAN KAU
ReplyDelete