Tuesday, February 1, 2011

"Imej Tengkorak Muncul di hadapan saya!" - Saari Amri


"Ini cerita saya, sewaktu sedang koma..." - Saari Amri




Seperti yang Dicherita-kan oleh Komposer Saari Amri kepada Penu-lis..

MALAM itu aku sedang sibuk mengemas skor lagu untuk artis baru. Dalam waktu yang sama, artis didikanku selama ini sedang direbut, bernaung bawah label syarikat yang lain.
Kusut fikiranku! Tidak semena-mena, pintu pejabatku diketuk. Aku tersentak! Siapa yang mengganggu malam-malam begini? Rupa-rupanya ada dua orang gadis sudah tercegat di hadapan pintu.
Salah seorangnya menangis teresak-esak dengan muka penuh lebam-lebam. Aku terfana! Selepas beberapa ketika, aku buka pintu juga.
       “Tolong Bang Saari, tolong… boyfriend pukul saya bang! Kami tak ada tempat perlindungan! Kami ditinggalkan. Tolong bang, tolong!” kata seorang gadis kepadaku.
Dari tutur bahasanya, jelas gadis-gadis ini dari Sabah.  Aku simpati melihat raut wajah mereka. Mereka meminta bantuan dariku.
Aku tak berani hendak tumpangkan mereka dalam pejabat. Takut orang dari jabatan agama menyerbu premisku ini dan aku akan dituduh bersekedudukan dengan bukan mahram.
Habis karier aku nanti! Terpampang di dada-dada akhbar seorang komposer terkenal ditangkap khalwat. Lagipun mereka baru belasan tahun ditambah pula isteriku yang tercinta sedang sarat mengandung anak kedua.
       Malam itu aku bawa mereka menginap di sebuah hotel di Jalan Pudu. Aku belikan mereka makanan dan berikan sedikit wang. Selepas memberikan nasihat kepada mereka, aku beredar. Takut aku diserbu di hotel itu pula.
       Esoknya, pagi-pagi sedang aku bersarapan di pejabat, seorang lelaki pula menyerang aku di premis tempat aku mencari rezeki.
Lelaki ini mendakwa teman lelaki gadis yang meminta pertolonganku, semalam. Dia datang dengan mengugut aku supaya jangan ganggu gadisnya yang datang meminta bantuanku semalam.
Aku tidak takut dengan sebarang ancaman darinya. Aku tidak melakukan apa-apa terhadap gadis yang aku bantu semalam. Teman lelaki gadis tersebut berang bila mendengar jawapanku.
Sebelum beredar, lelaki itu sempat memberi amaran: “Aku takkan lepaskan kau, Saari!”
Selepas tiga hari insiden diugut berlaku, pada suatu malam aku mengalami batuk yang luar biasa. Ketika itu aku berada di studio. Aku batuk-batuk sehingga terkeluar darah.
Aku amat terkejut! Ah! Sangkaanku mungkin kerana aku terlalu banyak merokok. Tak mengapa, mungkin esok baiklah, bisik hatiku.
Apabila batuk seakan tidak kebah, aku segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.  Malangnya doktor tidak mempercayai aku muntah darah kerana aku tidak kuat merokok. Lalu aku pulang ke pejabat semula.
Seharian, aku melakukan tugas dalam studio seperti biasa sehinggalah jam sudah menunjukkan hampir waktu subuh. Baru aku teringat, esok pagi-pagi lagi aku perlu ke Kuala Lumpur untuk menyelesaikan beberapa hal berkaitan anak didikku. Aku perlu pulang sekarang!
       Ketika perjalanan pulang, banyak perkara yang bermain di fikiranku. Hal-hal di studio, hal-hal artis dan beberapa hari lepas hal yang berkaitan teman wanita orang.
Ah! Kubiarkan saja semua perkara berlegar-legar di fikiranku. Yang penting, esok salah satu masalahku dapatlah diselesaikan.
Aku terus nyalakan enjin motosikal berkuasa tinggiku ini. Aku mahu pulang! Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, tiba-tiba dadaku berdebar.
Aku rasa seperti tidak sedap hati apabila terkenangkan tiba-tiba kenapa aku batuk berdarah tadi? Kemudian baru aku teringat kata-kata ancaman teman lelaki gadis yang aku bantu tempoh hari?
 Boleh jadi aku telah terkena buatan lelaki tersebut? Aku mengelamun sendirian. Motosikal kupecut semakin laju di Jalan Ampang.
       Sedang aku melintasi jalan di hadapan Hotel De Palma, Ampang, tiba-tiba suatu bayangan aneh menghadap mukaku dengan sekelip mata.
Bayangan itu berbentuk imej tengkorak berkepala putih. Aku terus tersentak dari lamunan. Ya Allah, aku beristighfar. Kenapa imej tengkorak itu berlalu betul-betul di hadapanku? Hatiku berdebar-debar. Terus kupecut motosikal menuju ke rumah.
       Esoknya pagi-pagi aku sudah bangun. Ada urusan di TV3 berkenaan hal kumpulan UK’s yang masih belum selesai. Aku hidupkan enjin motosikal dan terus tunggang menuju ke Kuala Lumpur.
Dalam hatiku masih rasa berdebar. Kenapa agaknya imej tengkorak berkepala putih melintasi hadapanku? Ah! Kubiarkan saja perasaan itu berlegar-legar di kepalaku. Namun perasaan itu seolah-olah memberikan petanda sesuatu. Tapi petanda apa?
       Pagi itu, aku tunggang motosikal dengan perasaan yang kosong. Mataku seperti tertutup! Aneh pandangan mataku juga terasa kosong!
Sedang aku melalui Jalan Ampang, betul-betul di lampu trafik hadapan Hotel De Palma, aku melanggar lampu merah. Dengan tak semena-mena lori dari simpang kanan menuju ke Kuala Lumpur bertembung dengan motosikalku.
 Sebaik saja motosikal berkuasa tinggiku berlanggar, aku tidak sedarkan diri…
       Saat itu dunia aku menjadi gelap. Selama 21 hari aku koma. Menurut cerita bapa mentuaku, peluang aku hidup amat tipis!
Aku masih ingat bagaimana dia menceritakan keadaanku yang sangat tenat ketika dalam ambulans. Nyawaku benar-benar sudah sampai di penghujung…
Semasa rawatan, ramai bertanya pada doktor bagaimana keadaanku. Jawapan yang diberikan oleh doktor adalah aku tiada peluang untuk hidup.
Menurut doktor, dadaku penuh dengan darah beku. Selepas rawatan demi rawatan, alhamdulillah, aku beransur pulih.
Begitu ramai yang melawatku di hospital. Isteri, keluarga, sanak saudara, rakan-rakan, media, semua datang melawatku. Tapi sayang sekali, seorang pun tidak kukenali.
Mereka kata aku adalah seorang komposer terkenal. Pencipta lagu yang dikagumi, tapi malangnya diriku sendiri pun tak kenal. Yang aku tahu, namaku Saari tapi apa yang berlaku sebelum ini aku tidak sedar.
Sepanjang lima tahun itu aku berubat, macam-macam jenis rawatan aku terima. Satu Malaysia aku pusing untuk mendapatkan rawatan kampung.
Ribuan wang ringgit telah dihabiskan untuk merawat aku. Wang yang selama ini aku simpan hasil pencarianku dalam bidang muzik habis dibuat belanja.
       Selepas aku pulang ke rumah, aku sering didatangi orang yang melawat. Suatu hari aku bertanya kepada isteri, kenapa agaknya ramai orang datang ke rumah kita?
Isteri saya mengalirkan air mata, sebak mendengar soalanku. “Abang, kan accident … lihatlah keratan akhbar, abang accident…” jawab isteriku.
 Ya, sepanjang lima tahun itu aku jadi bingung. Cakap merapu-rapu, begitulah antara yang cabaran ibu, isteri dan keluargaku sepanjang menjaga aku ketika masih belum sihat.
       Suatu ketika aku bertemu semula dengan doktor yang merawatku. Dia menyatakan aku adalah kes yang pertama dalam sejarah hidupnya sebagai seorang doktor.
Saya masih ingat kata-katanya: “Saari, sepanjang saya bertugas sebagai doktor, kamu pesakit pertama yang masih selamat walaupun terlibat kemalangan teruk.
“Motosikal kamu hancur, kamu tak luka, tak patah, darah kamu beku tapi hari ini kamu masih berada di hadapan saya!” begitulah kata-kata doktor tersebut.
       Selepas mendengar cerita doktor tersebut, aku mula sedar. Ya, aku terlibat dalam kemalangan yang dahsyat tetapi tiada luka parah mahupun patah.
Aku dimasukkan ke ICU, tapi alhamdulillah hari ini aku masih bernafas. Masih boleh berjalan atas bumi Tuhan dan menikmati pancainderaku.
Aku kenang kembali apa kesilapanku. Begitu banyak perkara hitam telah aku lakukan tetapi Tuhan itu masih memberi aku nikmat-Nya.
       Barulah aku sedar selama ini aku banyak memberi sedekah kepada yang memerlukan. Bukan aku hendak bercakap riak ataupun takbur tetapi itulah rezeki yang aku peroleh sebelum ini.
Alhamdulillah, ada juga aku salurkan pada anak-anak yatim dan pada orang yang memerlukan. Ada juga rakan-rakan yang sebelum ini susah, aku bantu.
Aku menikmati ganjaran atas kebaikan yang telah aku laksanakan sebelum ini. Aku mula sedar peluang ‘hidup’ kali kedua ini adalah dari rahmat-Nya.
Alhamdulillah. Tuhan masih sayangkan aku. Walaupun zaman aku sudah berlalu dalam industri hiburan ini, namun hasil dari pencarianku sebelum ini masih aku nikmati hingga sekarang.
Syukur kepada-Mu ya, Allah!

penulis merakam kenangan
bersama Saari Amri di
Datacrest Studio, Cheras
KLthugs: Saari Amri sekarang dalam perancangan menulis biografi kisah hidupnya sebagai komposer terkenal termasuk kisah tentang kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya enam tahun lalu.
Rilisan terbaru Saari Amri - Tajam berbisa

No comments:

Post a Comment