Tuesday, November 9, 2010

Roh jahat hukum banduan

AL-Catraz!!



JAM sudah menunjukkan pukul 3 pagi, terdengar suara siulan yang menyeramkan, tangisan dan jeritan dari arah sel blok D di penjara Alcatraz yang terletak di Teluk San Francisco,
California, Amerika Syarikat.
Bunyi tangisan itu diikuti suara raungan bergema, kemudian bertukar perlahan dan lemah. Esoknya, pengawal penjara menemui mayat seorang banduan ditemui mati dengan kesan cakaran dan cekikan tangan di leher. 
Banduan yang maut di sel blok D itu tidak dapat dikenal pasti punca kematiannya. Ia seolah-olah mengesahkan kehadiran sejenis roh jahat yang kononnya cuba membalas dendam kedajalan banduan ganas terlibat.
Banduan yang mati didapati memiliki kesan lebam dan calar-balar di leher. Berdasarkan laporan perubatan dan rekod bedah siasat, amat mustahil banduan terlibat membunuh diri dengan mencekik leher mereka sehingga mati.
Benarkah ada kuasa roh jahat telah menghukum banduan-banduan paling ganas di Alcatraz atau banduan diseksa dengan kejam?
Kisah-kisah tentang paranormal dan kematian banduan 
secara misteri di penjara terkemuka Alcatraz menjadi popular di seluruh dunia.

Alcatraz bertambah popular apabila pelbagai kisah misteri, hantu dan penyeksaan banduan difilemkan pada 1962 bertajuk The Birdman of Alcatraz  lakonan Burt Lancaster. Sebuah lagi filem The Rock (1996) lakonan Sean Connery, Nicholas Cage dan Ed Harris turut menambahkan populariti Alcatraz.
Penjara Alcatraz yang mendapat nama julukan ‘hellcatraz’ (neraka Alcatraz) dilaporkan sering mengalami pelbagai kejadian aneh dan misteri yang menakutkan penghuninya.
Alcatraz - ataupun ‘The Rock’ - juga dikenali sebagai ‘White Rock’ kerana pulau ini dipenuhi najis burung undan yang didakwa Orang Asli Amerika sebagai kawasan paling berpuaka oleh puak tempatan.
Orang Asli Amerika percaya pulau ini dihuni oleh kuasa jahat dan menjadi pulau larangan kepada puak-puak tersebut mendekatinya.
        Apabila orang Sepanyol, Juan Manuel de Ayala, tiba pada kurun ke-17, beliau menamakan pulau ini sebagai ‘La Isla de los Alcatraces’ atau ‘Pulau Burung Undan’. Pulau ini dikatakan gagal untuk dijadikan sebagai kem kawalan ketenteraan strategik.
Bagaimanapun semua ini berubah apabila pulau ini menjadi pusat kawalan pertahanan yang strategik sebagai kubu kuat Golden Gate Bridge di San Francisco.
        Kubu pertahanan itu dibina pada tahun 1854. Malangnya, penganalisis pembinaan telah gagal memperhalusi dua faktor geografi dan meteorologi menyebabkan ramai pekerja binaan maut akibat keadaan cuaca buruk seperti ribut kencang, kabus dan hujan.
Kekangan lain yang timbul selain bahana cuaca, pulau ini tiada sumber air atau tumbuhan yang hidup ditambah pula kesukaran penghantaran bekalan menyebabkan bantuan dari tanah besar amat sukar dilaksanakan.
        Akibat daripada kekangan tersebut, pelbagai jenis penyakit merebak di kalangan pekerja di tapak pembinaan selain berlaku kebuluran yang turut mengorbankan banyak nyawa.
        Bagaimanapun, segala kerja pembinaan dapat disiapkan dan pada tahun 1859 tahanan penjara pertama mula dipindahkan ke Alcatraz.
Bermula pada tahun 1861, secara rasminya kubu ini dijadikan penjara ketenteraan Jabatan Pasifik.
Tahanan dikurung dalam keadaan yang amat terseksa, dipaksa menungging kepala pada tapak kaki serta tanpa kemudahan kebersihan yang optimum.
Menjelang tahun 1930-an, Alcatraz mengetatkan keselamatan penjaranya ke tahap maksimum. Pengawal dilengkapi mesingan dan penjara ini menjadi penempatan bagi kumpulan banduan-banduan kejam yang terlibat jenayah berat dan banduan ketenteraan.
Sel di blok D merupakan kawasan yang paling menakutkan. Sel ini menempatkan banduan-banduan yang paling ganas - perompak, samseng, perogol dan pembunuh. Kebanyakan banduan yang cuba meloloskan diri dari penjara lain dihantar ke sini.
Di Alcatraz, tawanan dipaksa berdiri bertelanjang bulat dalam keadaan suhu beku yang sangat sejuk berhari-hari. Penyeksaan itu menyebabkan kebanyakan penghuni sel blok D menghabiskan masa mereka terus-menerus berteriak dan meroyan sehingga akhirnya menjadi gila.
Peluang banduan-banduan ini meloloskan diri amat tipis.
Andai ada penghuni ‘neraka’ ini cuba lari, keadaan ekosistem di sekeliling Pulau Alcatraz ini pasti akan membantutkan usaha mereka.
Biasanya keadaan geografi kawasan Alcatraz akan membuatkan mereka kembali semula ke pulau tersebut ataupun mati kesejukan di laut.
         Selepas ditutup pada 1969, Alcatraz dijadikan pusat pelancongan terkenal dan menjadi tarikan beribu-ribu pengunjung dari seluruh dunia kerana sejarahnya yang kejam.
Pengunjung-pengunjung datang ke Alcatraz semata-mata mahu merasai sendiri pengalaman paranormal di sini.
Pelawat yang sering kali datang ke Alcatraz  mendakwa mereka terdengar suara siulan yang menyeramkan, suara tangisan dan jeritan walaupun penjara ini telah lama dikosongkan.
Terdapat juga dakwaan yang mengatakan ada pelawat pernah ternampak kelibat rumah api, muncul dari celahan kabut yang tebal memancarkan cahaya dari arah pulau berhantu ini.
Alcatraz kekal sebagai bekas penjara digeruni banduan paling ganas di dunia!

No comments:

Post a Comment