Monday, April 25, 2011

Teka teki kewujudan Orang Pendek

Yeti? Bigfoot? Orang pendek?
atau Orang yang sedang berbogel?

KIRA-KIRA 100 tahun lalu, sekumpulan pengkaji dari Barat yang sedang menjalankan penyelidikan di Taman Negara Kerinci, Bahagian Tengah Pulau Sumatera terserempak dengan kelibat makhluk berkaki pendek dan berlari seperti manusia, di hadapan mereka.
Warna kulit makhluk bertubuh pendek itu coklat kemerah-merahan, berbulu gelap panjang, lengannya lebih panjang daripada kaki dengan ketinggian sekitar 0.7 meter.
Waktu itu, pengkaji Barat berkenaan belum pernah terserempak dengan makhluk pendek seumpama itu. Selama ini, hanya misteri kewujudan makhluk bernama Yeti dan Bigfoot menarik perhatian mereka.
Para pengkaji ini menyangka, makhluk yang mereka lihat ini spesies beruk yang menghuni Taman Negara Kerinci.  Timbul pelbagai teori mengenai kehidupan makhluk bertubuh pendek berjalan seperti manusia ini.
Penemuan tidak sengaja itu terus  menimbulkan perdebatan hangat. Bermacam-macam-macam teori dikaitkan dengan makhluk bertubuh pendek tersebut.
        Ramai para pengkaji berpendapat makhluk yang mereka lihat itu sejenis spesies beruk cryptozoology. Kononnya makhluk ini memiliki tubuh seperti kera tetapi berjalan seperti manusia.
Namun, penemuan tidak sengaja itu mendorong lebih ramai pengkaji datang ke Taman Negara Kerinci.
Kelibat haiwan cryptid itu yang dilaporkan dilihat pertama kali secara rasmi pada tahun 1910 menyebabkan nama makhluk itu semakin popular. Pelbagai nama diberi. Antaranya Orang Pendek, Awang Kenit atau Orang Kenit.
Publisiti meluas yang diberikan kepada Orang Pendek mendorong makin ramai pengkaji dari Barat turun ke wilayah Sumatera Barat mencari spesies baru itu.
Pada 21 Ogos 1915, seorang pengkaji, Edward Jacobson telah menemui jejak misteri di tepi Danau Bento, Tenggara Gunung Kerinci, di Jambi, Sumatera.
Jejak Orang Pendek
Penemuan tapak kaki sebesar tapak tangan kanak-kanak sepanjang tujuh sentimeter di pinggir danau itu menguatkan lagi bukti bahawa spesies Orang Pendek mendiami sekitar lembah Danau Bento. Jurupandu Edward bernama Mat Getoep mengesahkan, jejak sepanjang tujuh sentimeter itu milik Orang Pendek.
Namun, setelah berusaha menjejaki, Edward gagal menemui kelibat makhluk berkenaan mahupun kediaman Orang Pendek.
Dua tahun kemudian, pada tahun 1917, seorang Pengurus Ladang bernama Oostingh mendakwa terserempak dengan Orang Pendek di sebuah hutan berdekatan Bukit Kaba, Selatan Jambi.
Oostingh mendakwa terlihat haiwan cryptid ini berlari memanjat pokok dan terus hilang apabila mengetahui dirinya sedang diperhatikan.
Selain penemuan Orang Pendek di Lembah Kerinci,  makhluk aneh ini juga dilaporkan di jumpai di utara Palembang. Seorang Belanda bernama Van Herwaarden mendakwa terserempak dengan Orang Pendek sedang bertenggek di atas sepohon pokok rendang pada tahun1923.
Van Herwaarden terus menarik picu senapangnya menghala ke arah makhluk tersebut tetapi pemburu Belanda tersebut membatalkan niatnya. Aneh, makhluk yang dilihatnya itu menyerupai manusia. Pemburu itu tidak sampai hati hendak membunuhnya!
Selepas pelbagai peristiwa dilaporkan, makin ramai pengkaji dari Barat menelusuri hutan-hutan di Sumatera untuk mencari spesies Orang Pendek, namun hampa.
Beberapa tahun kemudian, Muzium Nasional Bogor menerima bangkai dipercayai milik Orang Pendek. Sebelum itu pihak muzium telah menawarkan hadiah bagi setiap penemuan bangkai makhluk cryptid itu.
Cerita tentang bangkai haiwan yang disangka Orang Pendek  menjadi bahan tajuk utama berita selama dua hari sebelum disahkan palsu. Rupa-rupanya bangkai tersebut sebenarnya spesies kera. Selepas itu minat pengkaji Barat terhadap Orang Pendek mula pudar.
Pada tahun 1989, pencarian Orang Pendek kembali hangat selepas seorang penulis Inggeris, Deborah Martyr mendakwa berjaya menemui jejak-jejak Orang Pendek di Barat Daya Sumatera. Jejak tersebut sepadan dengan tapak kaki anaknya yang berusia tujuh tahun.
Deborah merupakan saksi paling dipercayai tetapi sayangnya gambar yang dirakamkan oleh penulis tersebut kabur dan tidak memenuhi kualiti bagi mengesahkan kewujudan Orang Pendek.
Deborah Matyr bersama bahan
 bukti jejak kaki Orang Pendek
Namun setelah mengkaji selama lima tahun, Deborah akhirnya berpeluang melihat sendiri Orang Pendek di wilayah Gunung Kerinci pada 30 September 1994. 
Makhluk itu dilihat sedang menapak dengan kedua belah kakinya. Setelah berjalan beberapa meter, makhluk itu berhenti sejenak menoleh ke arah Deborah dan terus menghilang ke dalam hutan.
Orang Pendek haiwan jenis cryptid yang
menghuni di hutan tebal kepulauan Sumatera

SELEPAS kejadian itu, Deborah mendakwa pernah terserempak sebanyak dua kali dengan Orang Pendek di gunung berkenaan.
Pada 1995, sewaktu gempa bumi melanda Liwa di Lampung, beberapa orang penduduk tempatan sempat menyaksikan Orang Pendek bertebaran keluar daripada hutan berdekatan kerana takutkan gempa.
Adam Davies bersama jejak
Orang Pendek
yang dijumpainya
di kepulauan Sumatera
Pencarian Orang Pendek masih diteruskan hingga hari ini. Terbaru, sekumpulan pengkaji Centre for Fortean Zoology (CFZ) dari Universiti Cambridge melaksanakan misi menjejak Orang Pendek pada awal September tahun lalu diketuai Adam Davies.
Beberapa foto telah hantar ke Universiti Cambridge dan ada ura-ura mengatakan gambar yang dirakamkan kumpulan pengkaji ini dianggap sahih.
Persoalannya benar Orang Pendek itu wujud?
Kalau wujud, mengapa sehingga ke hari ini pengkaji masih terkial-kial mencari bukti bagi mengesahkan kewujudannya?
Kajian demi kajian masih berjalan dan ada kemungkinan Orang Pendek memang spesies haiwan cryptid yang aneh dan kita terus berteka-teki seperti halnya dengan kewujudan Bigfoot, Yeti dan Hobbit yang masih misteri sampai ke hari ini.
Atau mungkinkah, kewujudan Orang Pendek ini hanya cerita mitos yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain seperti cerita rakyat Orang Kenit dan Gergasi memanjat pokok labu yang popular di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Rajah menunjukkan perbezaan tapak kaki Orang pendek (kiri bawah)
dengan haiwan dan haiwan primitif lain

*Cryptid bermaksud sembunyi dalam bahasa Greek yakni spesies haiwan yang masih tidak dapat disahkan bukti-bukti saintifik kewujudannya.

KLTHUGS: Orangnya tinggi lampai, tinggal di hutan Konkrit Kuala Lumpur.. KL in my heart!

3 comments:

  1. ke toyol ni

    maklum lah

    nusantara ni kan mmg begitu hantu nye

    hehe

    ReplyDelete
  2. hehehe.. boleh jadi?
    tapi toyolkan botak??
    hhihihihih

    ReplyDelete