Friday, September 9, 2011

Hantu-hantu berkeliaran di Utusan Karya, Bandar Baru Bangi

Suatu Hari, di suatu ketika, saat yang lalu...

JAM sudah menunjukkan pukul 2.30 petang. Matahari amat terik memancar cahayanya di luar pejabat Utusan Karya Kompleks Utusan Bandar Baru Bangi. Bahang cuaca di luar pejabat tidak memberi apa-apa kesan terhadap keharmonian yang sedang berlaku dalam bangunan satu tingkat ini. Hal ini berikutan sistem penyaman udara pejabat berfungsi dengan baik sehinggakan penulis terpaksa memakai baju sejuk. Masing-masing sibuk menghadap komputer dan mengetuk papan kekunci sambil diselang-seli bunyi deringan telefon yang kunjung tiba.
          Selepas beberapa ketika, kawasan dalam pejabat Utusan Karya tiba-tiba bertukar hangat! Masing-masing bangkit daripada kerusi empuk kusyen hitam kuning berjalan berbondong-bondong menuju ke dalam dewan makan. Hampir semua kerusi-kerusi empuk di bahagian masing-masing kosong! Suasana pejabat yang tadinya harmoni bertukar kecoh! Wartawan Mastika, Kairul Anwar Yusop mula-mula menarik perhatian penulis dengan berlari anak-anak sambil tersengih-sengih macam kerang busuk menuju ke dewan makan.
          Penulis yang terpinga-pinga segera mengikut rakan-rakan pejabat lain menuju ke dalam dewan makan. Kelihatan Ruhaya Abdul Hamid mula-mula sampai selaku wartawan cemerlang di tempat kejadian kerana mendapat pesanan ringkas daripada rakan-rakan seangkatan ‘GBS’ menerusi talian BlackBerry Messenger yang baru dibelinya setelah mendapat bonus tahun lepas. Di sudut lain pula kelihatan Mohd Rizal Bujang sedang berbual dan menyakat Mohd Farid Elias yang dari tadi menyikat rambutnya yang ikal.
Ruang kerusi meja makan telah dipenuhi. Peliknya, meja-meja makan itu tadi dilapikkan dengan kain batik. Mungkin aktiviti pemujaan sedang berlaku dalam dewan yang padat dengan orang-orang di sini? Sebelum penulis melangkah masuk ke dalam dewan tadi, hidung penulis ditusuk aroma pulut kuning yang harum. Gilai tawa mula didengari di sana sini. Yang pastinya hilaian tawa Aqilah Nasihah Raban, Setiausaha Sulit En Badrul Azhar adalah yang paling mengerikan.
Penulis jadi seram sejuk! Bukan sebab ngeri terdengar gilai gadis comel ini, tetapi suhu dewan makan hampir mencecah suhu tahap beku! Apa yang sedang berlaku? Hampir semua orang macam tak sedar diri ketawa terkekek-kekek. Mereka semua kena sampuk kah? Apa kena pula dengan kain batik atas meja dan pulut kuning? Untuk dipersembahkan kepada siapa? Mungkin sedang berlaku ritual mistik padahal beberapa ketika tadi suasana pejabat begitu harmoni. Penulis mengokot sambil mata meliar memandang tiap pelosok dewan yang sederhana besar itu.
Tiba-tiba muncul seorang wanita separuh umur memakai baju bunga-bunga pelangi berdiri dari tempat duduk di tengah-tengah keramaian. Keadaan menjadi hening seketika, seluruh mata dalam dewan memandang kepada wanita anggun tersebut. Wanita anggun itu ialah Ketua Unit Majalah Keluarga,  Normala Hamzah, bukanlah seorang bomoh atau pawang.
“Hari ini Team Majalah Wanita berbesar hati dapat menjamu anda semua makan sempena prestasi majalah yang meningkat kebelakangan ini. Alhamdulillah!”
          Fuhh..! Lega hati penulis! Ada majlis makan-makan rupanya, ingatkan ada orang kena sampuk! Mana taknya, sejak kebelakangan ini sering saja kedengaran wujudnya entiti paranormal yang menampakkan kehadiran mereka di ruang-ruang yang luas di pejabat kami.
          Benar! Dakwaan ini bukan dakwaan yang tidak berasas! Dengar cerita kononnya beberapa wartawan langsung tidak muncul-muncul selepas terserempak dengan lembaga yang mengerikan di pejabat.
          Ada beberapa warga kerja Utusan Karya khabarnya bertemu dengan kelibat lembaga aneh semasa bekerja lebih masa menyiapkan artikel di pejabat. Baru-baru ini penulis sempat berbual-bual dengan orang kuat NUJ, iaitu Tuan Presiden yang segak, saudara Latip Mat Radzi yang juga Artis Grafik untuk Majalah Al-Islam. Menurut cerita saudara Latip, dia sering terserempak dengan kelibat lembaga seorang wanita tua yang berjalan terhegeh-hegeh di perkarangan tandas..
          “Wajahnya hodoh! Sangat hodoh! Abang terserempak perempuan tua tu masa berjalan menuju ke tandas. Tapi abang buat tak nampak je. Takkan nak tegur pula kan?” katanya lagi. Menurut tok imam merangkap tok bilal serta tok siak surau Utusan Karya ini, peristiwa itu berlaku ketika dia bekerja lebih masa di pejabat. Lebih-lebih lagi tuntutan bebanan kerja yang menginjak jam 12 tengah malam.
          Selain saudara Latip, Puan Jem dan Puan Izan dari cleaning department turut mengadu perkara-perkara aneh berlaku semasa kedua wanita elegan ini membanting tulang melakukan kerja-kerja pembersihan ruang pejabat Utusan Karya.
          “Akak tak pernah pula terserempak, tapi pernahlah ‘rasa-rasa’ kehadiran ‘benda’ itu.” Jelas Puan Izan ketika ditemu bual penulis.
          “Ada sekali dua ketika akak sedang nak bersihkan tandas lelaki, tiba-tiba jamban bahagian tengah dengan tak semena-mena ‘flush’ dengan sendiri. Nak kata ada orang, baru pukul 6.30 pagi padahal waktu pejabat hanyalah bermula pukul 9.00 pagi.” Katanya dengan mata yang terbeliak.
          “Pengalaman lain pula berlaku ketika akak sedang mengemop lantai pantry pagi-pagi. Tiba-tiba telefon berbunyi di bahagian meja Harmoni. Mula-mula bunyi sekali, akak buat tak endah saja, tapi bila dah dua tiga kali berdering akak pun angkat ganggang. Akak ingat siapalah yang agaknya yang ada urusan penting telefon pagi-pagi ni namun tiada suara atau nada yang menyahut. Panggilan sesat agaknya!” Jelasnya dengan panjang lebar.
          Selepas dari kejadian tersebut, apabila telefon berbunyi, bulu roma Kak Izan pasti meremang, tapi bila dah selalu sangat, wanita yang berasal dari Masjid Tanah ini sudah lali dengan gangguan-gangguan panggilan sesat tiap kali bertugas pada awal pagi.
          “Nak cari story untuk Mastika ke? Cuba tanya Fadhil. Fadhil pun ada pengalaman jumpa dengan entiti paranormal di pejabat ini.” Cadang wanita berkulit kuning langsat ini lagi. Tanpa membuang masa penulis segera bertemu dengan wartawan sensasi Majalah Mangga ini. Sebaik ditanyakan soalan, Fadhil agak tergagap-gagap menjawabnya.
          “I takut nak cerita, seram! Eee..” kata Fadhil sambul mengurut-urut dadanya. Dari riak wajah Fadhil, kelihatan jejaka yang berasal dari Pantai Timur ini agak trauma terhadap kejadian yang menimpa dirinya beberapa bulan yang lalu. Setelah dipujuk berkali-kali, Fadhil akhirnya berkongsi juga pengalaman mistiknya dengan penulis.
          “Masa tu kami deadline, team Mangga bekerja hingga larut malam. Sedang I sibuk menaip story, tiba-tiba I rasa nak buang air kecil. Lepas tu I bangunlah terus pergi toilet.” Jelas Fadhil memulakan bicara.
          “Pintu tandas lelaki kan bertentang dengan tandas wanita. Sebaik saja I selesai berhadas, I pun cucilah tangan sambil suluh muka di depan cermin tandas yang besar tu. Kebetulan pintu tandas wanita tidak bertutup. Begitu jugalah halnya dengan pintu tandas lelaki.” katanya dengan bersungguh-sungguh.
          “Bila dah suluh muka tu depan cermin, dengan secara tak sengaja haruslah nampak tandas wanita yang dah sedia terbuka pintunya. Dengan sekilas pandang, I perasan rupa-rupanya ada suatu lembaga sedang berdiri di hadapan cermin tandas wanita. Wajahnya tunduk ke lantai!” tambah Fadhil lagi. Kali ini matanya dijegilkan.
          Menurut Fadhil, susuk tubuh lembaga tersebut menyerupai salah seorang grafik artis bertaraf otai di UKSB yang juga seorang pemilik blog yang paling glamor di Gemencheh, Negeri Sembilan.
          “Ya, macam abang Jang! Mula-mula I ingat Abang Jang yang berdiri depan cermin tu, tapi mana ada orang malam-malam buta ni melainkan Team Mangga yang tinggal di pejabat berperang untuk deadline!” Jelas Fadhil lagi.
          Bertalu-talu persoalan yang menusuk ke minda penulis. Apakah jelmaan yang Fadhil lihat itu merupakan penunggu yang sama seperti yang dinyatakan oleh Saudara Latip? Atau jelmaan ‘belaan’ grafik artis otai tersebut? Amat mustahil seorang yang berpekerti mulia seperti saudara Jang mengamalkan ilmu hitam dan perkara-perkara ghaib. Sepanjang mengenali saudara otai ini, banyak pelajaran liku-liku kehidupan yang sering dikongsi pada penulis. Mustahil Jang membela makhluk halus! Kita tunggu sahaja penjelasan rasmi daripada abang Jang ataupun nama seperti di kad pengenalannya iaitu Azman Taha di Penanggah.blogspot.
          Selain Fadhil, brader skodeng dari team Mangga turut tidak terlepas menjadi mangsa penampakan entiti halus. Brader skodeng atau nama timangan manja Nuek Chikanos dikatakan selamat daripada gangguan halus tanpa mengalami trauma. Mana taknya, kalau penulis adalah seekor hantu, penulis pun takut dengan Nuek! Mahu hantu pula yang trauma kalau jumpa Nuek!
          Selain kelibat entiti yang sering menonjol pada waktu-waktu tertentu, aktiviti paranormal turut terjadi selepas tamatnya waktu kerja. Sejak setahun yang lalu, hampir kebanyakan staf lelaki dirasuk hantu selepas peruntukan Kelab Sukan dan Rekreasi memutuskan untuk membeli sebuah meja pingpong. Staf-staf lelaki ini akan mula bermain menentang sesama sendiri hinggalah masing-masing tidak sedar azan Maghrib berkumandang. Kadang-kadang tengah azan itu jugalah permainan sedang ‘tie-break’. Beberapa staf yang dirasuk roh ini tadi ada kalanya sering dimarahi isteri masing-masing kerana lewat sampai rumah atau lewat jemput balik kerja. Bahayanya, hantu-hantu pingpong itu tadi boleh merasuk setiap staf yang singgah menonton. Tiap kali gaji, ada sahaja di kalangan penonton membeli bat pingpong untuk menyertai ‘ritual’ ini.
          Melihatkan begitu banyak kehadiran entiti-entiti yang hadir di pejabat Utusan Karya, penulis yang juga seorang wartawan Mastika (yang sering dilabel sebagai majalah Mistik nombor satu) berpakat dengan Saiful Rizal Shariff (wartawan majalah Infiniti) untuk merungkai misteri ini. Pengalaman beberapa musim mengendalikan slot cerita seram dan mistik di majalah masing-masing menyebabkan kami sepakat untuk menghubungi seorang pawang yang dikhabarkan luar biasa hebatnya. Ya, memang ramai sebenarnya bomoh-bomoh yang handal di kalangan warga kerja UKSB sendiri, namun begitu penulis mengalami beberapa masalah ketika meminta bantuan bomoh-bomoh ini tadi.
          Mengikut sejarah semasa Utusan Karya beroperasi di Taman Shamelin dahulu, hantu-hantu yang menghuni kawasan tersebut berjaya ditangkap melalui sedutan botol soya oleh warga kerja sendiri iaitu saudara Firhat Yasir. Penulis beberapa kali memujuk saudara Firhat untuk membantu menghalau hantu kali ini di Utusan Karya tapi malangnya saudara Firhat Yasir sudah beberapa tahun meninggalkan arena sedut-menyedut hantu ini, skil pun dah lupa.
          “Lupakanlah, kau carilah bomoh lain. Pengeras aku dah mahal sekarang, lagipun mana kau nak cari botol soya ‘Yeo’s’? Kalau ada, aku boleh tolong buatkan.” Begitulah antara alasan anak jati Selayang ini berdalih apabila penulis menyuarakan hasrat.
          “Tak apa, aku kenal pawang baik punya! Namanya Wak Temulawok. Esok lepas kerja dia sampai dari Sungai Lembing, Kuantan. Kau tunggu ajalah!” tiba-tiba Saiful teringat salah seorang contact yang pernah memberi kerjasama dengannya dahulu.

Kehadiran Wak Temulawokk


          Hari dijanjikan pun tiba. Selepas subuh, pawang yang dikhabarkan hebat bab menghalau hantu memulakan sudah siap dengan tempayan, kemenyan berserta keris dan limau. Mula-mula Wak mengasap-asap seluruh kawasan pejabat dengan kemenyan.
          “Ado tigo jo.. tok rame, sonang ajo nih!” katanya sambil tersengih. Giginya rongak. Suasana yang sunyi kini seram sejuk! Wak yang dari tadi jalan mendada tiba-tiba mengokot. Mungkin Wak sudah rasuk?
          “Tu..tutup aircond bulehh?? Se.sejukk!!” katanya sambil menggigil.
          Lokasi pertama yang dituju adalah tandas lelaki. Selepas kemenyan dibakar dan di asapkan, tiba-tiba Wak Temulawok terus bersila dan terkumat kamit membaca mantra.
          “Mlawok, Mlawok, Mlawok..” berulang-ulang kali. Tiba-tiba mata Wak terbeliak!
          “Hah, tu dia! Haiiihhhhhhh!!!!!” tak semena-mena muncul kepala berambut panjang dari bahagian sisi tandas. Kepala tersebut tidak berbadan yang hanya tinggal isi badan yang sudah berceramuk melayang terbang menuju ke arah Wak Temulawok.


          “Hiyarghhh!! Kapunden karang-karang bilawakkk....  TEMMULAAAWOKKKKK!!!” Wak Temulawok terus menangkap kepala tersebut dan masuk ke dalam tempayan.
          “Ada sekor lagi, yang ni pocong.. haiiippppp!!!” tiba-tiba pocong terus melompat keluar dari tandas jamban tengah. Penulis terpinga-pinga memandang hantu bungkus itu keluar dari mana penulis tak tahu. Tiba-tiba Wak dengan segera memeluk hantu pocong itu dan terus memasukkan ke dalam tempayan.
          “Selese sudoh sini.. kedepe pulok!” kata Wak sebaik menangkap hantu yang dipercayai penanggal itu. Lalu kami terus ke bilik pingpong. Tanpa membuang masa, Wak Temulawok terus membakar kemenyan dan membaca mantra.
          “Punoh, punoh wehh!! Dio buak gini pulokk!!” tiba-tiba Wak menggeleng-geleng kepala. Menurut Wak, hantu yang sering merasuk staf-staf ini yang paling kuat. Tiba-tiba Wak ketawa sendirian. Kemudian dia bercakap seorang diri. Kemudian dia ketawa lagi hinggalah beberapa minit, Wak berbisik sesuatu pada kami.
          “Hantu Tino gini, guano? Ajak lawe pingpong deh! By the way her name is Sally” kata Wak sambil tersenyum. Menurut Wak lagi, hantu tersebut merupakan puntianak yang sudah kematian suami. Melalui komunikasi yang berlangsung antara Wak dan Sally, puntianak tersebut mahu perlawanan pingpong dilangsungkan. Perlawanan ini perlawanan satu lawan satu di mana Sally meminta kelebihan mata handicap sebanyak 10 markah. Sekiranya Wak berjaya mengalahkan Sally, Sally dan rakan-rakannya yang menghuni kawasan UKSB akan tinggal dalam tempayan dan menjadi penunggu.
          Beberapa ketika kemudian kemenyan dibakar lagi. Dengan tak semena-mena terdengar ngilaian yang nyaring dari hujung sudut bilik. Tiba-tiba Sally pun muncul dengan kain kapan berjuntaian berserta bat pingpong jenama butterfly.

           Kemudian perlawanan pingpong pun berlangsung antara Sally dan Wak Temulawok. Permulaan permainan agak perlahan namun beberapa kali permainan kelihatan begitu rancak dengan masing-masing berbalas smash. Wak Temulawok kelihatan agak tercungap-cungap membalas serangan Sally bertubi-tubi. Namun Wak langsung tidak hilang fokus sepanjang permainan berlangsung.

         
Akhirnya dalam masa 15 minit, Wak berjaya mengalahkan Sally. Walaupun diberi kelebihan 10 mata, Sally tak mampu menumpaskan Wak yang begitu handal ‘menjawab’ bola potong atau bola silang. Sebaik Wak mencapai mata akhir dan memenangi perlawanan, puntianak yang selama bertahun menghuni di Utusan Karya berjaya dikurung di dalam tempayan bersama-sama dengan hantu penanggal dan pocong tadi.

          Akhirnya entiti-entiti yang selama ini mengganggu operasi seharian UKSB berjaya ditangkap dan dimasukkan ke dalam tempayan besar oleh Wak Temulawok. Namun satu perkara yang mengejutkan penulis apabila tempayan itu tidak boleh dibawa keluar daripada bangunan ini. Menurut Wak, tempayan itu akan kekal berada di ruang pejabat UKSB sampai bila-bila dan menjadi penunggu.
          Sebelum pulang Wak sempat berpesan pada penulis bahawa bila-bila masa sahaja tempayan itu bisa bocor dan penunggu dalam tempayan itu akan kembali keluar dan mengganggu warga kerja UKSB.
          “Kalu jaga jemaah di surau, InsyaAllah tempayan itu tak bocor,” pesan Wak Temulawok sebelum pulang ke Sungai Lembing.

P/S: Sebenarnya kisah ini adalah kisah benar. Bahagian jemputan Wak Temulawok hanyalah imaginasi penulis. kebetulan wak Cat Farish agak free untuk photoshoot, penulis pun sauk dia jadi model kejap. Oh ya, plannya artikel ni ditulis untuk tinta, tapi sebab tokey Zulkarnain Zakaria bilang cerita ni terlampau merapu, maka penulis rasa elok diabadikan di sini...

KLTHUGS: Pernah diganggu ketika bertugas di office..perghh!! tak perlu diceritakan

3 comments:

  1. wak tu sumpah kelakar.. macam cat farish the fabulousoo!!!

    ReplyDelete
  2. mlawok! mlawokkk!!! hahahaah

    ReplyDelete
  3. Aku pun jadi watak dalam citer nie.....

    ReplyDelete