Monday, December 20, 2010

“Nama saya bukan Siti Gorila, Siti Tempayan...”

DUNIA ini kejam! Ya, dunia ini tidak adil buat saya. Mengapa kehadiran saya di dalam dunia ini hanyalah untuk dicerca, ditertawakan, dihina dan dijadikan bahan ejekan? Kenapa? Apa dosa saya? Kerana saya gemuk? Kerana fizikal saya besar? Berdosakah saya berkeadaan demikian? Hina sangatkah saya ini?
          Setiap hari ada sahaja kata-kata yang meremukkan hati ini. Saya masih ingat semasa di sekolah rendah, saya hanya mampu memandang kawan-kawan sekelas bermain.
Saya tidak berani masuk dekat. Jika saya masuk, kawan-kawan sekelas akan melarikan diri. Mereka mengatakan saya ini busuk, masam dan pengotor! Busukkah saya ini?
Kata-kata sinis seperti itulah selalu membuatkan diri saya berasa rendah diri. Saya rasa diri saya kerdil dan hina.
          Apabila saya berada di kantin pula, kawan-kawan sekolah sering memandang penuh makna ke arah saya. Selepas itu mereka akan ketawa mengejek. Saya tidak faham kenapa mereka berbuat begitu. Apa salah saya? Sehinggakan mereka juga tertawa apabila melihat saya sedang makan.
Lucu sangatkah jika semasa rehat saya makan sepinggan mi goreng dan sebungkus nasi lemak sekali gus?
          Ketika pendidikan jasmani pula, saya sering keseorangan. Jika bermain bola keranjang dengan kawan-kawan, mereka tidak mahu beri saya pegang bola. Saya terkejar-kejarlah seorang diri. Apabila saya minta bola, mereka semua buat tidak endah. Seolah-olah saya tidak wujud. Butakah mereka? Tidak nampakkah tubuh saya sebesar anak gajah ini?
          Yang paling sedih, mereka memanggil saya dengan bermacam-macam nama. Ada yang panggil saya Siti Gorila, Siti Tempayan, Siti Beruang, Siti Gajah, Siti Gendut dan bermacam-macam lagi nama lagi yang bernada mengejek.
Semua nama yang diberi itu amat menyakitkan telinga saya. Nama saya Siti Nurhalimah, bukan Siti Tempayan Budu. Kenapa mereka ini sangat kejam! Hina sangatkah saya ini!
          Semasa saya meningkat dewasa, saya seronok melihat rakan-rakan sebaya berSMS, bergayut di telefon dan bercerita tentang kekasih hati mereka. Saya juga mahu merasa erti nikmatnya cinta, malangnya tiada seorang pun yang sudi. Bukan kata hendak jadi kekasih, hendak berkenalan pun tiada yang sudi. Hati saya memberontak. Saya juga mahu merasa apa itu makna cinta!
Akhirnya, Allah makbulkan doa saya. Saya berkenalan dengan seorang lelaki melalui sebuah laman sosial dalam Internet. Nama lelaki itu Faizal. Ya, Faizal sangat baik. Dia begitu ambil berat diri saya. Setiap malam saya akan bersembang dengannya sampai ke pagi. Hidup saya berasa sungguh indah dengan kehadiran Faizal. Sepanjang hayat saya, saat inilah dirasakan begitu indah sekali. Terubat segala luka di hati selama ini. Bagi saya ketika itu, Faizal adalah segala-galanya.
          Suatu hari, Faizal mengajak saya keluar buat pertama kali selepas dua tahun hanya berkenalan di Internet. Dia mahu mengenali saya dan menatap wajah saya secara lebih dekat. Tetapi saya menolak dengan baik dan memberi bermacam-macam alasan. Sebenarnya saya bimbang, kalau-kalau apabila Faizal melihat saya dia lari lintang pukang, menjauhkan diri. Saya tidak sanggup kehilangan Faizal.
          Tapi, setiap hari Faizal asyik mendesak hendak berjumpa dengan saya. Katanya, dia teringin sangat untuk menatap wajah saya. Saya jadi serba salah. Setiap malam saya berdoa kepada Allah agar memanjangkan jodoh perkenalan saya dengan Faizal. Dek kerana Faizal terlalu mengharap, saya akhirnya akur. Saya bersedia bertemu Faizal.
          Suatu petang, saya berjanji berjumpa Faizal di sebuah restoran makanan segera di ibu negara. Saya juga memberitahunya saya datang memakai baju kurung berwarna biru dan bertudung hitam. Faizal menyatakan dia tidak sabar hendak berjumpa.
Sebelum turun dari rumah, sekali lagi saya berdoa kepada Allah agar menjadikan hari itu adalah terindah dalam hidup saya. Saya juga memohon kepada Allah, supaya Faizal dapat menerima saya seadanya.
Selama dua tahun mengenali jejaka ini, Faizal seorang yang sangat baik dan memahami. Saya yakin Faizal tidak akan mengecewakan saya dan menerima seorang gadis berusia 23 tahun yang mempunyai badan seberat 140 kilogram ini. Saya yakin! Saya bertawakal!
          Sampai di sana, saya segera melabuhkan punggung di kerusi. Mata saya melilau mencari di manakah gerangan jejaka yang membuat hati saya sentiasa berbunga. Jam di tangan berjalan begitu pantas. Tanpa saya sedari, Faizal masih belum tiba meskipun ianya sudah terlewat dua jam dari masa yang dijanjikan. Saya masih setia menunggu.
Setelah hampir tiga jam menanti, saya buat kali pertama menghantar SMS kepadanya. Malangnya tidak berbalas. Apabila saya menghubunginya, telefon bimbitnya dimatikan. Saya berasa amat sedih! Mungkinkah ada sesuatu yang buruk telah berlaku dalam perjalanan atau Faizal telah melihat saya dan melarikan diri!
          Malam itu, saya tidak henti-henti menghubungi Faizal, tetapi semua panggilan saya tidak berjawab. Saya sedih tidak terkira. Setelah berbulan-bulan cuba menghubungi, Faizal terus membisu.
Hancur luluh hati saya. Orang yang saya sayang selama ini sanggup melukakan hati ini. Fahamlah saya! Ya, manusia semuanya sama. Mereka memandang jijik orang gemuk seperti saya.
          Tidak cukup dengan insiden itu, sewaktu keluar dari universiti, saya cuba memohon kerja. Malangnya, semua tempat yang saya hadiri temu duga, menolak saya mentah-mentah.
Mereka memberi alasan tidak mahu mengambil saya bekerja disebabkan keadaan fizikal saya yang terlalu besar. Tubuh saya tidak sesuai diambil bekerja. Ketika itu hanya Tuhan yang tahu betapa kecewanya saya. Kenapa saya di diskriminasi sedemikian rupa? Bukankah saya mempunyai ijazah yang diiktiraf dari universiti?
Akibat fizikal yang gemuk, saya gagal mendapat kerja. Saya hampa. Saya tak ubah seperti seekor anjing kurap yang jijik di mata mereka.
          Pernah beberapa kali saya cuba untuk menguruskan badan. Tetapi tidak berhasil sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital disebabkan saya pengsan beberapa kali.
Puncanya, apabila makan, saya sengaja muntahkan semula bagi menguruskan badan. Apa yang saya lakukan semata-mata tidak mahu lagi dipandang hina, jijik dan tidak berguna di mata semua orang.
Kepada mereka di luar sana, satu permintaan saya. Jangan panggil lagi insan seperti saya dan lain-lain yang bertubuh gemuk dengan nama Siti Gorila, Siti Tempayan, Siti Beruang, Siti Gajah atau Siti Gendut!
Kami yang bertubuh istimewa ini bukanlah watak jenaka yang perlu ditertawakan sepanjang masa. Fahamilah...perasaan kami. Kami juga manusia biasa, insan ciptaan Tuhan yang ingin menumpang hidup sebentar di alam maya ini.

Siti Nurhalimah, kajang

3 comments:

  1. kurus ke gemuk ke..
    x kisah la. makhluk tuhan jgk

    niza..

    ReplyDelete
  2. betul tu niza..
    terima kasih banyak komen entri saya..
    silalah jadi follower saya :)

    ReplyDelete
  3. sedih gila siak.situasi sebijik cam aku

    ReplyDelete