Friday, December 10, 2010

Ini cerita Nenek paling tua yang dapat Ijazah.. Mampuu??


jika hayatnya panjang, wanita ini
 akan memecahkan lagi rekod dunia.


14 May 2007, Universiti Fort Hays, Kansas.

TEPUKAN gemuruh dan sorakan memenuhi ruang dewan. Kesemua hadirin bangkit memberi penghormatan kepada seorang wanita tua yang sudah berkedut-kedut kulitnya yang sedang menerima segulung ijazah daripada Gabenor Kathleen Sebelius. Lebih 30 hadirin yang turut berada dalam dewan itu memakai kemeja-T bercetak tulisan “Nola’s #1 Fan”.
          Hari itu, tercatat satu lagi rekod Guiness di mana seorang wanita tertua di dunia iaitu Nola Ochs bergraduasi ijazah. Ketika itu Nola berusia 96 tahun!
Pada Nola, memegang rekod wanita tertua yang bergraduasi ijazah bukanlah matlamatnya mahupun menerima sebarang anugerah kehormatan. Dia mendaftar kelas kolej pertamanya – tenis – di Dodge City Community College, Kansas pada 1978 yang pada ketika itu dia berumur 68 tahun.
          “Saya mahu ke dunia luar dan bersama masyarakat,” kata Nola, yang menjanda selepas kematian suaminya, Vernon pada tahun 1972.
          “Kolej adalah tempat yang menyeronokkan, tempat untuk kita lakukan sesuatu. Saya mahu turut menyertai pelajar yang lain dan belajar.”
          Selepas tenis, Nola mengambil kursus Perniagaan Agriculture (Agribusiness) untuk memajukan lagi perusahaan ladang gandum milik keluarganya di Jetmore, Kansas yang turut dibantu tiga orang anaknya iaitu Alan, Marion, 64 dan Loren, 72. Setiap tahun, Nola akan mengambil dua kelas termasuklah kelas pengajian kitab bible dan pengajian komputer yang banyak berkaitan dengan kajiannya dalam geneologi.


Berjiwa Muda
Nola dilahirkan oleh pasangan Olly dan Ethel Hill pada 22 November 1911 dan dibesarkan di kawasan ladang berhampiran Ainsworth, Nebraska.
Pada tahun 1927, keluarga Hill berpindah ke ladang berhampiran Dodge City. Dia kemudiannya menamatkan sekolah tinggi pada tahun 1929.
Nola mengikut jejak langkah ibunya dengan menjadi seorang guru dan mengajar di sebuah sekolah kampung di Hodgeman County dan bertemu dengan Vernon Ochs empat tahun kemudian lalu mengikat tali perkahwinan.
“Pada tahun 1930an, 1940an dan 1950an, wanita tidak bekerja di luar rumah. Saya amat sibuk mengepam susu daripada lembu ditambah membesarkan empat orang anak” Katanya.
Musim luruh yang lalu, Nola mengemaskan komputer, pakaian dan krocetnya untuk dibawa ke pangsapuri kampus di Fort Hays dan melengkapkan 30 jam kredit untuk dia mendapatkan ijazah.
Menariknya, cucunya Alexandra Olchs turut bersama-sama mengambil subjek sejarah pengajian kitab lama.
“Apabila keputusan ujian pertama dapat semula, saya sungguh risau kalau nenek dapat buat lebih baik dari saya” kata Alexandra. Kedua-duanya memperoleh A dalam ujian pertama mereka.
Berjalan ke kelas dengan rambut putih, bersanggul serta senyuman yang manis, Nola menjadi selebriti di kampus. Rakan sekelas mengadakan kejutan pada sambutan hari jadinya yang ke 95 tahun.
Semasa semester kedua, dia memperoleh 3.7 gred pointer, menulis lebih 100 buah esei dan kertas kerja. Professor Isu Politik, Shala Mills menggunakan kertas kerja gred A+ Nola sebagai contoh rujukan kepada pelajar-pelajarnya untuk membuat kajian yang lengkap.
“Dia seorang pelajar yang menyeronokkan, sentiasa ambil bahagian dalam perbincangan dalam kelas.” Ujar Professor Mills.
Kesemua 13 orang cucu dan 15 cicit turut berbangga dengan pencapaian nenek dan moyang mereka.
“Nenek selalu menggalakkan cucu-cucu nenek untuk dapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Kalau saya ada masalah dalam matematik, saya akan berbasikal ke rumah nenek untuk meminta bantuan nenek menyelesaikannya. Tambahan pula, nenek pandai bakar cinnamon roll” kata Colby, 18, yang bersekolah di Jetmore High School.
Nola dijemput dalam rancangan bual-bicara The Tonight Show yang dihoskan oleh Jay Leno beberapa minggu selepas bergraduat.
 “Saya hendak mencari pekerjaan di kapal persiaran mewah sebagai pencerita,” katanya pada Leno bergurau.
“Saya mesti ceritakan sesuatu kalau ada orang bertanya tentang hidup saya” tambah Nola lagi dengan matanya berwarna biru, bersinar-sinar.
Princess Cruises, salah sebuah syarikat kapal persiaran mewah serta merta menjemput wanita tua ini menjadi ‘pencerita jemputan’ selama sembilan hari, belayar ke kepulauan Carribean.
Semua orang sayangkan Nola. Jangan terkejut, Nola Ochs masih belum berhenti! Untuk pengetahuan pembaca, nenek tua ini menyambung pelajarannya di peringkat sarjana dalam bidang Pengajian Liberal. Mungkin dalam masa setahun, jika hayatnya panjang, wanita ini akan memecahkan lagi rekod dunia.

No comments:

Post a Comment