SEDIKIT masa lalu, sekitar penghujung tahun 90-an hingga awal tahun 2000,
Bukit Bintang menjadi tumpuan peminat muzik bawah tanah berkumpul. Ketika itu
juga, Bukit Bintang menjadi hab kepada anak muda yang meminati muzik alternatif bertukar-tukar
material seperti demo tape. Melihat
aksi pemuzik-pemuzik bawah tanah turun padang menjual album, demo tape atau CD di sini adalah
pemandangan biasa. Transaksi wang tunai juga menjadi medium nombor dua kerana
masing-masing ada yang bertukar material (sistem barter) seperti fanzine dengan album atau album dengan
album. Wang tidak penting, tetapi kelangsungan budaya DIY (Do It Yourself – Buat
Sendiri) itu yang paling dititikberatkan.
Dek kerana lambakan kedai-kedai yang menjual beraneka
jenis pakaian di gedung beli belah Lot
10, Plaza Sungai Wang dan Plaza
Bukit Bukit Bintang, secara tidak langsung Jalan Bukit Bintang meriah dengan sajian
pelbagai jenis fesyen yang diperagakan oleh anak-anak muda ketika itu.
Jika anda masih ingat, ada
saja pelbagai fesyen jalanan yang unik seperti gaya punk 70an, di mana ada
golongan remaja mengenakan jaket kulit
dengan pelbagai tampalan dan aksesori lain seperti butang tajam dan memakai
but jenama Dr Martens yang beraneka
warna. Skinhead, sebuah lagi pecahan
budaya yang agak popular tidak terkecuali menjadi ikutan remaja. Begitu ramai
remaja mengenakan kemeja-t sendat yang berjenama Fred Perry, Lonsdale atau Merc.
Sudah pastilah dengan gaya rambut botak dan dengan tali suspender! Ada juga beberapa golongan remaja yang menggemari gaya
lusuh rock seperti zaman genre grunge
ketika kebangkitan muzik di Seattle suatu ketika dahulu! Ramai yang berseluar
jeans lusuh dan tidak sedikit yang mengenakan kemeja-t hitam mempamerkan
beraneka jenis nama kumpulan pujaan masing-masing. Nirvana, Kurt Cobain, Pearl Jam, Soundgarden dan berbagai-bagai
nama kumpulan muzik grunge selain
kemeja berkotak-kotak dipakai dengan merebeh.
Itu belum dikira lagi dengan
gaya clan-clan (kumpulan) hip-hop dan kumpulan peminat papan
luncur yang dianggap paling hipster
ketika itu.
Persembahan gigs dianjurkan merata-rata tempat di
sekitar Bukit Bintang. Banyak sebenarnya gig-gig
dianjurkan di kawasan tengah bandar raya berhampiran Pasar Seni, atau sekitar Damansara,
Petaling Jaya, tetapi Bukit Bintang menjadi hotspot dan lebih popular. Sebenarnya, sebelum Bukit Bintang
menjadi tumpuan, Pasar Seni terlebih dahulu menjadi tumpuan penggiat muzik
bawah tanah pada pertengahan tahun 80-an hingga tahun 90-an. Mungkin kerana lambakan pendatang asing yang
menjadikan Pasar Seni, Kota Raya sebagai tempat mereka bersidai pada hujung
minggu menjadikan penggiat-penggiat ini mencari lokasi yang lebih baik dan
‘trendy’.
Saya masih teringat, ketika
masih berumur belasan tahun, medium Internet tidak meluas seperti hari ini.
Jika tidak mahu terlepas persembahan-persembahan gigs di sekitar ibu kota, pergi ke Bukit Bintang, tanya saja kepada
remaja-remaja yang menempel di hadapan gedung Lot 10, atau di Jalan Walter
Garnier (belakang KL Plaza – kini
Farenheit), mereka pasti akan memberitahu di mana lokasi gig dianjurkan.
Itu sudut pandangan biasa sebelah siang pada hujung minggu. Pada
sebelah malam pula Bukit Bintang begitu meriah dengan berbagai hiburan yang
hidup pada hujung minggu. Banyak kelab-kelab malam yang dibuka untuk menarik
pelancong-pelancong luar menikmati suasana malam di Bukit Bintang. Antara kelab
malam yang popular di Bukit Bintang sudah pastilah Planet Hollywood. Di sini
menjadi tumpuan warga kota malah pelancong asing menghabiskan sisa-sisa
kehidupan malam selain beberapa bar dan pub di sekitar jalan ini.
Lampu-lampu neon yang bergemerlapan
di sekitar Bukit Bintang bukan sahaja menarik perhatian pelancong dan warganya,
tetapi turut menarik kupu-kupu malam
bersidaian mencari pelanggan di sekitar Jalan Bukit Bintang. Namun begitu,
kehadiran mereka tidak begitu ramai kerana kupu-kupu malam ini lebih banyak
dijaga oleh bapa-bapa ayam. Bapa-bapa ayam inilah yang lebih ramai bersidai
menarik pelanggan untuk mengikutnya masuk di celah-celah lorong melampiaskan
nafsu. Namun menjelang pagi, aktiviti persundalan ini lenyap menggantikan
urusan perniagaan sebagai galang.
BUKIT BINTANG SEKARANG
Kemeriahan muzik bawah tanah sekitar penghujung tahun 1990-an dan awal
tahun 2000 memang menjadi kenangan yang nostalgik di Bukit Bintang. Ada saja
cerita suka duka ‘penghuni’ di dalamnya.
Hinggalah lewat tahun 2007-2008, Bukit Bintang tidak lagi
menjadi lokasi penggiat muzik bawah tanah berkumpul. Remaja-remaja yang tadi
sudah membesar dan semakin dewasa. Mereka tidak lagi menghabiskan masa dengan
menebeng di tepi-tepi tangga gedung beli belah. Malah, kuasa Internet turut
menyumbang ‘kehilangan’ entiti komuniti ini yang lebih gemar berada di ruang sosial
maya seperti MySpace kemudiannya Facebook dan Twitter. Risalah-risalah gig
tidak lagi mudah dilihat bertaburan ditampal di dinding-dinding lorong sekitar
Bukit Bintang, tetapi berganti di ‘Wall’
laman sosial (internet).
SUDAH lama penulis tidak menjejakkan kaki ke Bukit
Bintang pada hujung minggu. Di kesempatan pada cuti hujung minggu lalu, saya
sempat menjenguk-jenguk kawasan ‘permainan’ belia-belia yang rajin bertandang
ke sana. Malangnya lorong-lorong di kawasan sekitar Bukit Bintang sudah tidak
lagi dipenuhi dengan remaja-remaja yang sama. Generasi baru yang berkiblatkan muzik dari Korea Selatan
membiak begitu banyak dan bertebaran di hadapan gedung beli belah Pavilion. Ada
juga yang masih mengenakan fesyen ketika saya nyatakan di atas tetapi mereka
tidak lagi ke hulu ke hilir dengan demo
tape atau risalah-risalah gig
terbaru. Kebanyakan dari muda-muda mudi ini lebih banyak mengusung iPad atau kamera DSLR sahaja.
Saya merindui kedai-kedai yang
menjual koleksi album yang di sekitar Bukit Bintang dan KL Plaza. Saya masih
teringat berbual panjang bersama rakan-rakan tentang perkembangan muzik semasa,
selepas kami bertemu di kedai kaset suatu ketika dahulu. Dulu ada sebuah kedai
menjual koleksi-koleksi vinyl
berhampiran gedung Lot 10, telah berganti dengan kedai makan.
Ketika saya mengayunkan
langkah di hadapan Menara Maybank, saya begitu terkejut dengan perubahan yang
semakin menjadi-jadi di Bukit Bintang. Pembinaan
MRT sedang dijalankan di tengah hiruk pikuk Jalan segi tiga emas tersebut
tetapi apa yang lebih mengejutkan apabila semakin
banyak pusat urutan kaki yang bertebaran di hampir seluruh kawasan. Mengapa
begitu banyak sekali pusat urutan sedangkan seingat saya lapan atau sembilan
tahun lalu, pusat urutan tidak sebegini banyak.
Begitu ramai sekali gadis-gadis sunti duduk menebeng bersidai di bahu-bahu
jalan dan kaki lima memegang sekeping kertas risalah menjual perkhidmatan urut kaki.
Saya rasa tidak senang kerana jam di tangan saya baru menunjukkan pukul 3
petang. Situasi ini begitu janggal buat saya kerana begitu banyak sekali
dijalankan pada waktu siang buta.
Timbul persoalan pada benak
saya adakah kawasan Bukit Bintang yang dipenuhi dengan pusat beli belah ini
menyebabkan begitu banyak pusat-pusat urut kaki di sini? Adakah trend beli
belah - terlalu letih berjalan menyebabkan perniagaan perkhidmatan urut kaki,
menjadi trend sekarang?
Hati saya menjadi semakin
tidak senang apabila melihat kelibat gadis-gadis tadi kebanyakannya bukanlah warga
tempatan. Lebih memeningkan kepala apabila melihat pakaian mereka. Kain di dada
sengaja dilondehkan.
Saya mengintai beberapa kawasan yang seingat saya dahulu
lot-lot kedai yang dimiliki oleh perniagaan urut kaki ini adalah pejabat, kedai
gambar malah kedai buku dan majalah. Namun, semuanya telah dihuni oleh
pengurut-pengurut berkulit gebu ini yang entah ada permit atau tidak.
Saya sebenarnya mengesyaki di
sebalik perkhidmatan urut kaki, mereka ini ada membuat transaksi haram yang
hanya berlindung di sebalik servis melegakan sakit-sakit. Mungkin, mereka ini
menjual ‘pakej ke syurga’? Semuanya boleh jadi kerana beberapa kali saya
melihat kelibat anak muda tak kiralah apa bangsa sekali pun tanpa segan silu
mencuit gadis-gadis yang berdada lebar ini. Kemudian mereka masuk ke dalam
premis dan hilang dari pandangan mata saya.
Apabila matahari semakin
tenggelam, kawasan ini seakan berpesta dengan lebih ramai lagi gadis-gadis
montok muncul entah dari mana. Mereka berusaha menarik pelanggan dengan
senyuman manis di samping memakai skirt pendek paras paha. Selepas seorang demi
seorang yang lalu, disapa.
Saya garu kepala dan menjadi
keliru apabila berada di sini. Ura-ura nak membawa adik-adik saya dan adik-adik
sepupu bersiar-siar di sini cuti sekolah yang lalu, tetapi melihatkan keadaan
Bukit Bintang seakan pusat hiburan di Pat Pong, Thailand, saya batalkan niat
saya. Lebih baik saya habiskan masa berkualiti di rumah tonton rancangan kartun
bersama mereka.
Bukan apa, saya risau kelak nanti apabila
pelancong-pelancong yang datang menyinggahi akan memandang serong terhadap
rakyat Malaysia. Tak mustahil apabila pelancong-pelancong asing pulang nanti
mereka akan kata gadis-gadis yang menempel tadi adalah rakyat Malaysia yang
tidak ada kelas menjual perkhidmatan mengurut di tepi jalan!
KLTHUGS: Terlalu banyak memori di Bukit Bintang.. Masih teringat-ingat ruang masa lalu masa rajin lepak. Pernah bekerja FnB line di Kenny Rogers di KL Plaza, Teppanyaki di Sungei Wang Plaza. Lepas habis belajar pernah jadi sales coordinator untuk WWF fund campaign, Jack Tan Marketing di Bukit Bintang gak.