Friday, November 11, 2011

Hikayat Pembunuh Kucing Zaman Moden

Ish... Ish... Ishh!! Kejamnya!!!

“ARGHHHHH!! Dia buat dahh!! Celaka betul kucing abang sebelah ni!!” Boy menjerit keberangan apabila mendapati sekali lagi anak kucing belaan jiran sebelah kencing di atas kasut Converse miliknya yang diletak sebelah pasu bunga.
“Pagi-pagi bau hancing! Woi Macha, aku pinjam kasut kau ya!” jerit Boy pada rakan serumahnya yang sedang lena tidur di ruang tamu. Muka Boy merah padam memandang kasut kanvas putihnya yang kekuningan sudah kering di kencing kucing.
Selepas menyarung kasut rakan serumahnya, Boy berjalan menuju ke pintu pagar. Kali ini darahnya berderau! Dua ketul najis berwarna hijau kehitaman pekat sebesar ibu jari kaki terletak betul-betul di hadapan pintu pagar. Najis itu masih panas. Baunya terus menusuk hidung Boy yang masih belum bersarapan.
“Aduhh! Berak lagi? Dah letak pasir depan pagar pun berak jugak dekat sini? Iskkk!!” bebel Boy tak berkesudahan.
Matanya menjeling ke arah tiga ekor kucing di balik pagar rumah sebelah. Anak kucing berwarna putih tompok hitam sedang merayap-rayap di sekeliling pasu bunga, manakala seekor lagi berwarna coklat sedang menetek puting ibunya.
Ibu kucing yang berwarna putih tompok perang itu menguap beberapa kali. Sesekali mata anak kucing berwarna coklat itu melilau-lilau ke arah udara dengan pandangan mata yang sayu.
“Oh, dah berak buat-buat tak pandanglah? Santaplah puas-puas, petang ni tahulah nasib korang,” getus hati Boy sambil menapak menuju ke kolej.
Lepas habis kelas, Boy dan Macha lepak merokok di anjung rumah. Sambil memerhatikan keadaan sekeliling, Macha mengacah-acah anak kucing yang sedang bermain-main di bahagian pagar sebelah rumahnya.
“Miiiaaaaauuuu... !! Puusssss !! Pussss... miaaaauuuuu...!!” panjang muncung Macha mengacah kedua-dua ekor anak kucing yang sedang bergomol antara satu sama lain sambil memetik-metik jari.
“Miaauuu... miaaauuuu...! mmmiiauuuuu...!!!” kedua-dua ekor anak kucing yang sedang menguit-nguit telinga sesama sendiri memandang ke arah Macha.
Seakan diumpan kepala ikan goreng, anak-anak kucing itu berlari ke arah Macha. Anak kucing berwarna coklat menguit-nguit jari Macha.  Dengan tidak semena-mena Boy yang dari tadi duduk mencangkung di sebelah Macha menyambar belakang tengkuk salah seekor daripada anak kucing itu.
“Argggggg mariiiiiii...!!” Anak kucing coklat yang Boy pegang dicampak terus ke dalam plastik sampah hitam.
“Yowwwwwww!!!” Anak kucing coklat tadi mengerang kesakitan apabila tubuhnya dicampak dengan kasar. Terkapai-kapai si koko kelemasan apabila dicampak ke dalam plastik. Berkali-kali si koko mencakar-cakar dari dalam. Si koko menguis-nguis untuk cuba keluar daripada plastik itu, tetapi gagal.
“Ni Boy, yang lasak nihh...!!” kata Macha sambil mencekuk si tompok.
Kali ini si tompok pula dicampak ke dalam plastik sampah hitam dengan kasar bersama-sama adiknya. Mengerang kesakitanlah si tompok apabila menerima nasib yang sama seperti abangnya.
“Miaauuu... Miauuuuu... Miauuuuuuu!!” bertalu-talu bunyi ngiauan anak-anak kucing yang kelemasan dalam plastik sampah hitam. Kedua-duanya bercakaran dalam plastik hitam cuba untuk melepaskan diri.
“Syhhhhh...!! Duduk dalam tu diam-diam! Nanti tuan korang dengar,” kata Boy sambil mengangkat plastik hitam itu dan menebuk beberapa lubang untuk anak-anak kucing itu bernafas. Beberapa kali plastik hitam itu ditampar.
Macha terus menghidupkan enjin motosikal di hadapan rumah mereka. Setelah beberapa ketika, mereka berdua berlalu keluar daripada kawasan perumahan dan menuju ke arah sebuah tasik berhampiran terletak tidak jauh dari situ.
          “Aku ambil yang coklat ni Macha, aku rasa yang coklat nilah yang kencing atas kasut aku...” kata Boy sambil mengangkat si koko yang mengiau dengan suara yang lemah. Matanya sayu memandang Boy yang kerap menyepak tubuhnya apabila si koko selalu muntah di bawah selipar atau membuang najis di hadapan pintu pagar rumah anak-anak teruna itu. Pernah sekali kaki si koko terkehel kerana sepakan Boy agak kuat. Seminggu jugalah si koko berjalan tempang.
          “Miauuuuuuu... miauuuuuuu... miauuuu...” berkali-kali anak kucing comel itu mengiau. Suara ngiauan si koko sudah lemah, mungkin masih kesakitan akibat ditampar oleh remaja durjana ini tadi.
          Tiba-tiba dengan selamba Boy melambung anak kucing bermata biru itu terus ke tengah tasik. Lambungannya sungguh tinggi hingga berkocak air tasik yang dari tadi tenang.
Blopp... Bloppp... Bloppp!!
Si koko terus tenggelam tidak timbul. Begitulah kejamnya tindakan anak muda ini.
          “Hah, turn aku pulak... Tompok ni aku nak tengok dia terkapai, jadi aku campak kat tebing saja...” kata Macha sambil mencengkam tengkuk si tompok yang dari tadi mengiau tidak henti.
Dipandangnya mata anak kucing itu sambil tersenyum tanpa sedikit pun rasa belas. Misai si tompok hampir gondol kerana beberapa kali digunting oleh Macha kerana mencakar tempat duduk motosikal anak muda hitam manis itu beberapa minggu yang lalu.
Jenglot tanah ini lagi kejam, beberapa kali jugalah si tompok pernah dilambung-lambung macam bola. Kadang-kadang sampai berdesing kepala si tompok dibuatnya.
          “Okey tompok... mari kita belajar berenang...!” Macha mencampak dengan perlahan anak kucing itu di pinggir tasik. Tanpa sedikit pun rasa simpati, Macha hanya tertawa kecil apabila melihat keletah si tompok terkapai-kapai menguit-nguit tangannya di udara.
Terpancar sinar kenikmatan pada wajah Macha apabila melihat si tompok berusaha untuk timbul di permukaan tasik. Macha ketawa sambil bercekak pinggang.
Lalu... Blopp... blopp... blopp!!!
 Si tompok menerima nasib yang sama seperti abangnya tenggelam di Tasik Kesuma gara-gara kebodohan mereka kerana kencing, berak dan muntah di anjung milik manusia durjana itu.
          “Perghh... kau memang kejam Macha. Aku lambung kucing tu jatuh terus tercabut nyawa. Kau siap boleh tengok dia terkapai-kapai lagi,” kata Boy yang berbadan gempal sambil membonceng motosikal rakan serumahnya.
          “Hang jangan banyak bunyi Boy, kalau anak-anak kucing tu kencing lagi atas kasut dan berak depan pagar, sanggup nak cuci?” balas Macha sambil tersengih-sengih. Boy tanpa banyak bicara hanya menggeleng-gelengkan kepala.
Kedua-dua jerangkung hidup ini terus berlalu meninggalkan kawasan Tasik Kesuma, Beranang yang menjadi pusara dua ekor anak kucing apabila kawasan tasik makin gelap dimakan senja.

Ish... Ish... Ishhh!!!
Yang ini pun kejam juga!!

HAH! Nama gua Bob. Panggil saja Bob Nazi! Jangan tanya gua banyak-banyak kenapa nama gua Bob Nazi. Nama gua ni diberi oleh kawan-kawan gua yang tinggal satu kejiranan dengan gua nun di Bangi, Selangor sana.
Mula-mula budak-budak panggil gua Bob saja, tapi semuanya gara-gara salah seorang kawan gua yang sedang stim hisap ganja memberi gua pisau untuk gua membunuh...!!
Tak apalah, dah alang-alang gua buka cerita, biarlah gua cerita sampai habis. Tapi kalian semua janganlah marahkan gua kalau gua cerita buat kalian semua sakit hati sama gua. Gua nak cerita pasal macam mana gelaran Nazi melekat pada nama gua.
Ceritanya begini, gua ni salah seorang student di sebuah kolej swasta yang  terletak di Selangor. Pada cuti semester dua tahun yang lalu, gua tak habiskan banyak masa berfaedah dengan pergi cari kerja sambilan ataupun menjadi pengasuh budak. Gua hanya lepak di rumah dan membuta pada siang hari. Pada waktu malam gua akan lepak di kedai mamak menonton bola ataupun lepak di rumah kawan-kawan main permainan video sampai subuh.
Selain lepak mamak, gua selalu melepak dengan kawan-kawan gua
dalam rumah kosong yang terletak di pinggir taman perumahan kami. Rumah tersebut sudah dua tahun tak berpenghuni. Mungkin bank lelong atau tidak ada penyewa yang baru, itu gua tak pasti. Rumah kosong ni merupakan port rasmi gua dan rakan-rakan gua menghisap ganja.
Maklumlah, kalau selalu sangat balut ganja dalam rumah gua dan kawan-kawan, lama-lama boleh kantoi dengan mak bapak kami atau jiran-jiran. Lagipun bau asap ganja ni kuat!
Dipendekkan cerita pada suatu petang gua dengan rakan-rakan
sedang menghisap ganja di rumah kosong. Sedang kami meracik-racik daun ganja kering dan tembakau rokok di bilik paling hujung tingkat atas, tiba-tiba kami terbau aroma yang kurang menyenangkan...
Yekk!! Rupa-rupanya seketul tahi kucing yang masih lembik ada di sebalik pintu bilik tidur besar. Cis! Mata gua melilau dan perasan ada seekor kucing betina yang bunting berwarna kelabu sedang menjilat-jilat tapak kakinya tidak jauh dari tempat najis itu terletak.
Gua terus naik angin bila tengok kucing bunting tersebut. Mana taknya, rumah tu port paling cantik dan selamat untuk gua dan kawan-kawan gua melepas gian.
Tiba-tiba ada kucing sial yang datang buat taik. Gua tak banyak cerita, gua terus capai pisau tajam yang diguna untuk buat bong, iaitu tabung untuk menghisap ganja.
Lepas tu gua ajak kawan-kawan gua angkut kucing betina tu turun ke ruang tamu. Hati gua meluap-luap tengok mata kucing yang pandangannya macam tak bersalah minta simpati. Tapi gua tak peduli, port gua sudah busuk dengan bau taik!
Tanpa banyak bicara, gua suruh kedua-dua kawan gua pegang kaki kucing itu. Masing-masing ikut saja apa yang gua suruh, maklumlah, kepala masing-masing tengah stim!

          Gua terus tusukkan pisau ke perut kucing sampai pangkal, tanpa belas! Kucing yang bunting itu menjerit kesakitan. Kemudian gua terus toreh hingga ke bahagian kaki, kira-kira sejengkal panjangnya. Darah memancut-mancut keluar dari perut kucing yang sedang mengiau-ngiau. Lalu terkeluarlah janin anak kucing. Tiga ekor janin kesemuanya. Perghhh!!!
Selepas itu kami lepaskan kucing betina yang sedang mengerang kesakitan ke lantai. Kucing yang sedang kesakitan itu berjalan lemah tanpa arah dan mengiau-ngiau tanpa henti.
Janin yang tergantung dari perut kucing itu masih kecil, terjuntai-juntai meleret apabila ibunya berjalan lemah mengelilingi ruang tamu.
Gua dan kawan-kawan gua menikmati ilmu sains dengan penuh asyik apabila darah dan janin yang terburai bersama-sama isi perut kucing berjuntaian di lantai simen.
Masing-masing hanya terlopong bila melihat janin yang kecil dan comel itu sedang mengokot. Beberapa ketika kemudian, kucing itu terus rebah dengan mulut yang terbuka.
Hah, sebab tulah kawan-kawan gua panggil Bob Nazi! Kalian suka kucing? Gua tak! Gua benci kucing! Sebab kucinglah gua jadi kejam!

NOTA: Kedua-dua kisah di atas adalah berdasarkan pengalaman kisah benar rakan sekolej penulis sewaktu menuntut di sebuah institusi awam beberapa tahun lalu.
Semasa penulis bertanyakan bagaimana perasaan mereka ketika melakukan perkara terkutuk itu, ketiga-tiga responden yang berumur pertengahan 20-an itu langsung tidak pernah menyesal dengan tindakan kejam yang mereka lakukan. Mereka anggap menyeksa kucing hanyalah seperti menampar seekor nyamuk. Ish... ishh... ish! Sedihnya!! – Mohd. Nazirul Afiq Ismail.

KLTHUGS: Perghh.. memang ngeri.. tapi sebenarnya ramai yang berkelakuan macam ni.. Adakah kerana masalah psikologi? Atau tiada didikan agama? Kalian tell me.. Lepas gua publish dalam Mastika, macam-macam feedback gua dapat.. malah ada cerita lagi ngeri daripada ini dan macam hitz cerita Hero (klik sini) yang gua tulis sebagai peledak..

Tuesday, November 8, 2011

Hero Dipotong Kaki Kerana Mencuri Ikan.

"Jaga Baikkk... T-Rex datanggggg!!!!!"


HAIIIIIIII...!!!! Saya HERO!!!

Oleh: Mohd. Nazirul Afiq Ismail

Ruang masa sekitar bulan Mei 2005

HAIREY melihat jam tangannya. Sudah hampir pukul 2.00 petang. Sampai masanya dia kembali bertugas. Hairey menghidupkan enjin motosikalnya dan terus menunggang keluar dari simpang Taman Jaya, Semenyih dan terus meluru ke jalan besar. Fikirannya menerawang jauh.
Lagi tiga bulan dari sekarang hari yang bersejarah buatnya akan tiba. Kadang-kadang kepalanya kusut memikirkan apakah akan dialaminya setelah bergelar suami nanti? Mungkinkah dia akan melalui fasa terindah setelah lengkap fitrahnya sebagai seorang manusia sebaik diijab kabul?
          Hairey mesti simpan duit! Bulan ni dia terpaksa ikat perut. Mungkin gaji masuk lewat. Maklumlah baru dua minggu dia bertugas di tapak projek di Semenyih. Hairey masih hijau dengan pengurusan di tempat baru. Boleh jadi gaji masuk separuh? Rumah pun baru saja disewanya. Hmm... bulan ni memang Hairey kena kerja keras!
          Matahari terpacak betul-betul di atas kepalanya. Berkali-kali dia terbatuk kerana tekaknya kering. Pancaran matahari terlalu terik. Peluh jantan sudah meleleh dari celah lehernya.
Kehangatan bahang tar jalan yang membara, membuatkan Hairey tewas untuk segera memulas minyak terus ke tempat kerja. Dia membantutkan perjalanannya sebentar untuk ke pejabat. Hairey perlu singgah sebentar ke kedai runcit. Hanya air sejuk yang berada dalam peti ais di kedai runcit itu sahaja yang mampu melegakan rasa hausnya.
          Hairey beri signal ke kanan sebaik deretan kedai itu sudah hampir. Sebaik sahaja dia berhentikan motosikalnya, mata Hairey teralih ke arah sekumpulan budak sekolah menengah yang sedang berkerumun asyik memandang ke lantai kaki lima hadapan kedai.
          Perasaan ingin tahu Hairey menebal. Dari riak wajah budak-budak yang baru mencapai akil baligh itu menunjukkan mereka memerhatikan sesuatu yang luar biasa. Hairey berjalan menuju ke arah kumpulan remaja tersebut.
          Alangkah terkejutnya Hairey apabila menyaksikan seekor kucing berwarna putih bertompok sedang berdarah. Lebih memilukan hatinya apabila dilihatnya kedua-dua kaki depan kucing itu kudung akibat dipotong!
          “Eh... eh, dik, ni kenapa ni, dik?” Hairey terus menggelabah apabila melihat kucing itu terbaring lemah. Berkali-kali kucing itu mengiau-ngiau seakan minta simpati.
          “Tak tahulah bang, tadi ada seorang lelaki campak kucing ni. Waktu lelaki tu campak kucing ni dia kata kucing ni bawa sial kat kedai dia!” kata salah seorang remaja tersebut.
          Mata Hairey tertumpu pada jasad kucing tersebut. Dari riak wajah kucing itu tergambar betapa rasa sakit dan perih malang yang menimpanya. Darah dari kedua-dua belah kakinya masih menitis. Berkali-kali kucing putih itu menelentang dan menguit-nguit kakinya yang sudah kudung. Mungkin kucing itu sedang menahan kesakitan, getus hati Hairey. Entah keparat mana yang berhati binatang sanggup melakukan perkara terkutuk sebegini... Ahh! Kejammmm! Kejammmmmm!
          “Miauuu... Miauuu... Miauu!! Miauuuu... Miaaaaaauu! Miau! Miau!”
          Kucing putih itu terus mengiau dan mengerang kesakitan. Badannya menggigil-gigil kesakitan. Matanya berkaca, memandang sekeliling dengan wajah yang begitu sayu. Kucing itu menoleh ke kanan kemudian mengiau. Kemudian menoleh pula ke kiri, mengiau lagi. Beberapa kali anak kucing itu tunduk ke lantai, kemudian mendongak dan mengiau-ngiau tanpa henti. Suaranya lemah dan bergetar. Mungkin dalam benak kucing itu sudah membayangkan malaikat maut sudah hampir dan bakal mencabut nyawanya sebentar lagi.
          Jiwa Hairey bergelojak dibuatnya. Terbantut rasa haus apabila menyaksikan haiwan comel itu sedemikian rupa. Tanpa berfikir panjang Hairey segera mengambil jaket yang berada dalam raga motosikalnya. Hairey berjalan dengan hati sebak ke arah kucing yang masih berdarah itu. Dibentang jaket lusuhnya di sebelah haiwan berbulu halus itu.    Perlahan-lahan Hairey memegang kucing yang sudah parah itu dan mengangkat tubuhnya dari belakang. Kucing putih mengiau-ngiau lagi. Makin lemah dan makin perlahan ngiaunya.
          “Bismillah... Aku angkat kau ya kucing malang, jangan menangis lagi, hero tak menangis, kan? Tak apa, aku bawa kau jumpa doktor ya...” Seakan memujuk, dengan perlahan Hairey mengangkat kucing putih itu dan diletakkan ke atas jaket lusuhnya. Tanpa disedari, matanya mula bergenang.
          Hairey terus mengangkat kucing malang itu dan terus memasukkan ke dalam raga motosikal. Sebaik menghidupkan enjin, hatinya terdetik lagi.
Baru dia teringat wang di dompetnya sedang nazak. Kalau dibawa kucing ini bertemu veterinar untuk dirawat, sudah pastinya khidmat doktor haiwan mesti dibayar. Dengan keadaan ekonominya yang serba terhimpit ini, duit yang berada dalam dompetnya tidak boleh dibelanjai sewenang-wenang.
Ya, Hairey tak kisah kalau tak makan sekalipun, tetapi andai kata esok lusa motosikalnya buat ragam, ataupun berlaku kecemasan, dengan siapa dia perlu minta bantuan? Ahh... dugaan... dugaan!
          “Maafkan aku hero, aku bawa kau pulang saja ya? Tak apa, aku ada... aku akan jaga kau,” kata Hairey dengan air mata yang berlinangan. Dia terus menunggang motosikalnya menuju ke rumah.
          Sebaik tiba di rumah, tanpa banyak bicara Hairey segera mencari botol kecil yang berisi minyak sapu berwarna hitam pekat dalam almari rumahnya.
Hanya minyak hitam itu sahaja harapannya selain doa yang dipanjatkan kepada Allah agar kucing malang itu terus bernafas tanpa mengalami pendarahan teruk.
          Hairey duduk menghadap kucing malang itu yang diletakkan di tengah rumah. Kucing itu masih menggigil kesakitan dan mengiau-ngiau dengan lemah. Hairey membuka tutup botol dan menuang minyak penawar hitam pekat itu ke atas tapak tangannya yang telah dikotori darah. Dengan lembut dia menyapu minyak berwarna hitam pekat dan melekit itu pada kaki kucing itu. Air matanya berlinangan lagi apabila melihat isi pada kaki haiwan malang itu.
          “Mari sini aku sapukan minyak gamat pada kaki tu. Tahan ya sikit... Hero mesti tahan rasa sakit!” pujuk Hairey lagi. Selepas menyapu minyak, Hairey membersihkan badan kucing itu daripada darah.
Kemudian dia mengusap manja kucing yang baru dirawatnya tadi. Dibelai-belai bawah dagu, diusap-usap kepala kucing malang itu. Hairey terus merawat kucing itu dengan minyak berwarna hitam pekat dari sehari ke sehari.
Dia memberi kucing itu makan dan membelainya. Dari sehari ke sehari jugalah dia melihat perkembangan kaki kucing yang berdarah hinggalah lukanya kering dan berkuping, sehinggalah...

Ruang masa sekitar September 2011

“HEROOOOOO!! Herooo!!!” Hairey terjerit-jerit memanggil Hero yang asyik menguit-nguit dan menjilat tubuhnya. Dikerling Hero dari hujung anak matanya.
Meskipun kedua-dua belah kaki Hero kudung tetapi kini dia sudah sembuh sepenuhnya dari tragedi malang yang menimpanya, enam tahun lalu. Hero kini bukan saja sudah sihat tetapi menjadi seekor binatang ajaib di dunia.
Biarpun Hero tanpa dua belah kaki tetapi dia dapat melompat dan berjalan serta bermain. Keletahnya menghiburkan Hairey sekeluarga. Kemudian Hairey terus memfokuskan penglihatan pada komputer ribanya. Diteliti satu-satu perkataan yang terbit dari skrin komputer ribanya.

‘Allah memanjangkan nyawa kucing tersebut... dan, Allah juga telah memberi takdir kepada kucing tersebut untuk mendapat penjaga yang sanggup dan bertanggungjawab utk menjaganya... menitis air mata aku tengok kucing ni...’
Hairey tersenyum apabila membaca kata-kata yang ditinggalkan oleh pelayar Internet yang menonton videonya. Hatinya terasa kembang... Kemudian dia mengamati komen yang lain dalam bahasa Inggeris pula.
Oh my god!! The poor cat... I cried while watching this... May god bless u both for rescuing & taking care of ‘HERO’.
          Kali ini Hairey menitiskan air matanya. Hairey tidak menyangka video yang dimuat naik ke dalam laman sesawang Youtube mendapat perhatian rakyat Malaysia.
Lebih 200 ribu orang telah menonton sejak bulan Jun 2010 dengan tajuk ‘Kucing Dipotong Kaki Kerana Mencuri Ikan’.

Hairey membelai Hero sambil dilihat Along dan Angah..
Kejap! Kejapp!!  mana satu Along, mana satu Angah?? ngeee...

          “Ayah... ‘Iyo’ (Hero) nak makan...” Angah mendukung Hero dan membawa ke pangkuan Hairey. Hairey menyambut Hero dari tangan anaknya yang masih kecil itu.
          “Iyo nak makan ke ayah...??” Along sedari tadi duduk membelai Intan Payung bertanya kepada Hairey. Hairey hanya tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala. Geli hati Hairey apabila mendengar kedua-dua anak kembarnya menyebut Hero dengan ‘Iyo’. Maklumlah, kedua-dua anaknya itu baru berumur tiga tahun lebih, lidah pun masih pelat nak sebut hero.
          “Belum lagi sayang... Kejap lagi kita bagi ‘Iyo’ makan dengan Hector, dengan Intan Payung, Boboi, Baby, Paris dan yang lain-lain sekali ya?” kata Hairey kepada kedua-dua anak kembarnya itu.

Hatinya tersentuh apabila melihat kedua-dua anaknya itu membelai kucing-kucing jalanan yang dibelanya itu dengan penuh kasih sayang.
          Ada di antara kucing-kucing yang dikutipnya berada dalam keadaan yang sangat menyedihkan. Hector misalnya, dijumpai di jalanan dengan kesan pada perut yang berparut akibat dicurah air panas.
Seekor lagi, Baby, pernah makan puntung rokok di hadapan matanya. Sebak hati Hairey mengenangkan nasib kucing-kucing jalanan ini. Mereka juga berhak hidup.
          Ya, anak-anak kecil ini harus dididik dan disemai perasaan kasih terhadap binatang. Begitu juga dengan rakyat Malaysia pada amnya. Sambil mengusap-usap kepala Hero, Hairey menulis blognya. Kemudian dia mengambil gambar Hero memanjat tangga menggunakan telefon bimbit.
Hero, kucing jalanan yang kudung akibat dipotong oleh manusia durjana itu dijadikan sebagai simbol kekejaman manusia terhadap binatang. Dia berazam blog tulisannya mendidik agar generasi baru tidak akan mengulangi kekejaman yang berlaku terhadap Hero.

Nota: Hairey, 32, atau lebih dikenali sebagai Papa Hero (PH) dalam blog kendaliannya iaitu kakimotong.blogspot.com merupakan individu mulia yang menyelamatkan kucing malang yang diberi nama sebagai Hero.
Sebagai warga prihatin, anak muda ini menjadikan blog, video, laman rangkaian sosial sebagai medium untuk kempen kesedaran terhadap keganasan manusia terhadap binatang. Bagi Hairey, binatang seperti kucing perlu diberi perlindungan sewajarnya. Pendera terhadap binatang pula satu bentuk jenayah yang perlu dikenakan hukuman setimpal.
 Syabas, Hairey! Semoga usaha Hairey dapat menanam sifat cinta pada binatang subur di hati generasi celik IT! Marilah kita semua lindungi kucing, haiwan kesayangan Nabi Muhammad s.a.w. ini.

KLThugs: Hasil nukilan gua untuk Mastika November 2011.. Alhamdulillah feedback yang sangat hebat dari masyarakat yang cintakan haiwan lepas cerita ni publish di Mastika. Tak sangka, ramai sungguh yang meleleh airmata baca keprihatinan insan mulia seperti Papahero. Lagi best, Utusan, TV3 dan Selamat Pagi Malaysia cover lagi pasal Hero. Tahniah PH!! Buat petknode, lu orang sangat fakapp!! 

foto kredit: fauzi utusan