KLthugs sedang menemubual, bertemu dan berbual, bukan membeli belah .. dah beli belah yerr! |
Shempoi.. the fab four tengok nih meleleh air mata.. |
Ada iras brader giler kentang kan? Apa? Mawi? Ada ahh skett.. |
Slug: Adam adli
Logo: Anak Muda Inspirasi Negara KITA
Mukadimah KLThugs: Sebenarnya tulisan ni sudah melalui proses akhir untuk dirilis naskah arus perdana kira-kira Julai 2012 tetapi telah disekat oleh ketua pengarang untuk diterbitkan . Gua frustrated gila masa ni sebab gua rasa gua tak kacau siapa-siapa punya sensitiviti. Idea gila nak temuramah mamat ni sebenarnya memang idea gua, sebab gua rasa anak muda macam dia ni perlukan medium untuk bersuara. Tak kiralah dia ni pembangkang ka, penyokong ka.. kan?
Melalui kaca matanya (ada rupa macam iqram dinzly dan Mawi World) gua dapat rasa apa yang dia nak perjuangkan beyond the politikal stuff, cuma 'seseorang' perlu groom Adam Adli untuk jadi promising leader in the future, yes, i can say he's a voice from the future.. take a look at him :). Btw, silalah enjoy interview session KLThugs dengan Adam Adli yang berlangsung di sekitar Bangsar Utama.
Melalui kaca matanya (ada rupa macam iqram dinzly dan Mawi World) gua dapat rasa apa yang dia nak perjuangkan beyond the politikal stuff, cuma 'seseorang' perlu groom Adam Adli untuk jadi promising leader in the future, yes, i can say he's a voice from the future.. take a look at him :). Btw, silalah enjoy interview session KLThugs dengan Adam Adli yang berlangsung di sekitar Bangsar Utama.
Kepada kalian yang tertanya-tanya siapakah Adam Adli, penulis
dengan senang memperkenalkan pada kalian untuk ruangan ‘Anak Muda Inspirasi
Negara Kita’.
Saya pasti,
rata-rata kalian sudah mengenali figura aktivis mahasiswa
baru berusia 22 tahun ini yang begitu kontroversi sekali di ruang siber.
Serah saja
pada enjin carian Google, nah!
Bersepah pautan blog dan rangkaian berita web perihal remaja yang berasal dari
Kuala Lumpur ini.
Inilah
remaja yang pernah membikin kontroversi menurunkan bendera Perdana Menteri dan
menaikkan bendera kebebasan akademik ketika bersama-sama pelajar-pelajar lain
yang berhimpun menuntut kebebasan akademik pada tanggal 17 Disember tahun lalu
di pekarangan Ibu Pejabat UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Akibatnya, anak muda ini digantung
pengajian di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak
selama tiga semester. Anak muda ini dilabel sebagai ‘budak jahat’, pengacau dan
menjadi alat pihak tertentu.
Rentetan
peristiwa tersebut juga, Adam terus dikecam dan dikutuk oleh sekalian ramai
rakyat Malaysia yang menganggap perbuatannya biadab dan kurang ajar.
Tidak kurang
ada antara kita bercita-cita, kalau dapatlah budak Adam ini habis disiat-siat
dan tidak kurang ramai yang hendak tumpang semangkuk, membelasah, memukul dan
memijak budak jahat ini dek kesombongannya.
“Kalau aku
dapat budak jahat ni, memang aku tempeleng! Tak reti bersyukur! Kau belajar
sajalah, jangan nak berdemo masa belajar, nak sertai politik konon, entah
belajar pun tercicir! Bodoh! Bangang!” itu satu daripada ribuan komen yang
penulis baca melalui tampalan blog.
Malah,
sebuah video turut dimuat naik di laman Youtube
yang memaparkan beberapa orang lelaki yang menggelar diri mereka ‘Panglima Perang’
turut menyelar tindakan Adam sampai hendak meludah dan menampar muka mahasiswa
yang dicap ‘budak jahat’ ini.
Akibat dicap
sebagai ‘budak jahat’ Adam pernah ditumbuk oleh seorang penduduk ketika remaja
itu turut menyertai rundingan dengan 34 orang penduduk flat PKNS Kampung
Kerinchi yang bakal dirobohkan beberapa bulan lalu.
‘Budak
jahat’ ini kononnya dikatakan menyibuk urusan penduduk kerana bertindak naik ke
kawasan atas flat dan bertemu dengan penghuni di sana.
Dalam video
tersebut turut kelihatan beberapa penduduk memarahinya dengan mengeluarkan
kata-kata kesat lantaran pelajar hingusan seperti Adam tidak layak campur
urusan di kampung mereka.
“Hah,
belajar pun entah ke mana, keputusan CGPA pun 2.5, sibuk nak berdemo, sibuk nak
berpolitik! Puii!” ini satu komen yang lain pula.
Kesian pula
penulis baca komen-komen sadis sebegini. Alahai Adam, sebegitu teruk dibelasah
di alam maya. Tak pasal-pasal orang membenci seorang bakal guru yang akan
mengajar anak bangsa kita nanti sebagai ‘budak jahat’.
Benarkah
Adam seorang ‘budak jahat’ seperti yang dilabel sesetengah orang?
Penulis lalu
mengatur pertemuan untuk berdepan dengan tuan punya badan yang kontroversi ini.
Penulis mahu mendengar sendiri luahan hati mahasiswa yang sering dikritik tiap
kali kemunculannya di portal-portal berita dan blog-blog di Internet...
“CGPA terakhir saya 3.40!”
KALAU memang dasar ‘budak jahat’ dan asyik menyibuk hal
orang lain yang tidak ada kena-mengena dengan pelajaran pastinya prestasi CGPA
Adam jatuh teruk.
Benarkah
keputusan CGPA Adam di UPSI 2.5 seperti digembar-gembur di blog-blog tertentu?
Pada hemat penulis,
keputusan 2.5 daripada 4.00, adalah nyawa-nyawa ikan, macam pelajar tak baca
buku. Tak serius belajar! Betul ke apa yang penulis dengar ni Adam?
“Eh, tak
betul! Keputusan terakhir saya bukan 2.5, CGPA terakhir seingat saya 3.40
daripada 4.00. Orang sengaja buat cerita tu!” beritahu Adam yang mengambil
kursus TESL di UPSI.
Biasalah
Adam, kalau orang dah cap ‘budak jahat’ semua benda yang kamu buat tak betul
belaka. Sebab itulah, orang dah nasihat masa belajar, belajar
bersungguh-sungguh, jangan nak campur aduk hal lain. Hah! Inilah jadinya.
“Pada saya, tohmahan
tersebut hanya salah satu fitnah yang tidak benar,” kata Adam mempertahankan
dirinya.
Tak apalah
Adam, jangan terlalu emosional sangat. Banyak lagi soalan yang penulis nak
tanya.
Apa yang mendorong
Adam minat dunia aktivisme? Maklumlah, Adam seorang mahasiswa, jadi aktivis
pelajar, buat apa menyibuk hal-hal politik pula. Pergilah hadap buku dan
belajar sampai dapat ijazah. Tak gitu Adam?
Adam
tersenyum mendengar provokasi daripada penulis. Anak muda itu sebenarnya sudah
bersedia daripada segala aspek termasuk mental dan fizikal apabila terjun
sebagai seorang aktivis pelajar.
Adam
berpendapat, menjadi seorang aktivis pelajar sebahagian daripada exercise yang perlu dilalui oleh
seseorang mahasiswa sebelum mereka keluar berkhidmat untuk masyarakat kelak.
Sebagaimana
mahasiswa diajar nilai-nilai murni di universiti supaya membantu masyarakat,
begitulah yang dipraktikkan Adam sentiasa prihatin dengan nasib masyarakat.
Seboleh-bolehnya, Adam cuba mendekati dan membantu masyarakat yang memerlukan
bantuan.
“Saya jadi
aktivis pelajar bukan nak nama, bukan nak duit orang. Saya ikhlas nak bantu
masyarakat! Kalau orang salah tafsir, itu hak mereka! Yang penting saya ikhlas
bantu masyarakat!” jelas Adam lagi.
Kalau
setakat Adam bantu masyarakat tak mengapa dik, tapi janganlah nak jadi hero
pula. Bukankah itu petanda Adam asyik menyibuk? Lantas dicap ‘budak jahat’!
Kepada
soalan itu, Adam merasakan, sesetengah masyarakat di luar sana membuat interpretasi
salah terhadap aktivis pelajar sepertinya yang ikhlas menolong masyarakat.
“Mahasiswa
perlu turun padang dalam setiap perkara atau satu-satu isu sebab suara
mahasiswa, pandangan berkecuali daripada sebarang unsur politik. Suara kami
neutral!” jawab Adam lagi.
Jadi, Adam
dan aktivis pelajar lain sentiasa ‘berdiri di atas pagar’ tidak menyebelah
mana-mana parti politik termasuk pemerintah ketika berjuang dalam satu-satu isu?
“Ya! Itulah
sebaik-baiknya! Kami bukan mahu menangkan parti A atau parti B sebaliknya, mengkritik
ke atas sistem dan kepincangan di atas sistem politik itu sendiri,” ujarnya
bersungguh-sungguh yang ‘berdiri atas pagar’ bila berbicara.
Hmm! Jadi
tidak benarlah dakwaan orang selama ini yang cuba mengaitkan Adam dengan parti
politik tertentu? Itu tohmahan, fitnah juga ke?
“Ya, memang
itu tohmahan yang sengaja direka. Itu juga satu fitnah yang dicipta
memburuk-burukkan aktivis pelajar seperti kami. Akhirnya tercapailah hajat
mereka! Cap kami ‘budak jahat!” ulas Adam tenang.
Nah, tolong
jawab pula kenapa anda muncul di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur ketika pihak berkuasa
tempatan (PBT) sedang sibuk berurusan dengan penduduk, kenapa Adam pula yang
perlu menyibuk di sana? Bukankah lebih baik Adam baca buku?
“Saya dan
aktivis pelajar lain datang atas rasa simpati sebab ada penduduk datang
beritahu kami, flat mereka nak dirobohkan! Kami datang atas sifat ingin tahu,
bukan nak buat kacau atau ganggu sesiapa.
“Tapi bila
sekumpulan penduduk tengok kami dan cam sebagai aktivis pelajar, mereka mulakan
provokasi. Tuduh kami sebagai pengacau dan hasut penduduk!
“Sebenarnya
kami tak ada kacau, tak hasut sesiapa. Kami cuma nak tahu saja. Kami juga tak
mahu campur tangan!” cerita Adam bersungguh-sungguh.
Kalau tak
campur tangan, macam mana Adam boleh ditumbuk?
“Itulah
mereka salah anggap pada aktivis pelajar. Mereka anggap aktivis pelajar budak
jahat!” jawab Adam mempertahankan dirinya.
Adam mengambil
contoh, sebelum kejadian itu, suatu malam, seorang lelaki penduduk tempatan di
Kampung Kerinchi datang menemuinya, sebaik mereka baru selesai bermesyuarat.
Lelaki itu
memberitahu flat di situ akan dirobohkan. Lelaki itu minta Adam dan aktivis
pelajar datang memberi sokongan supaya flat itu tidak dirobohkan.
“Kami
datang pagi itu seperti orang lain, hanya melihat-lihat apa yang berlaku, tak
ada buat apa pun. Kami tanya orang-orang di sana berapa orang yang tidak mahu
berpindah, seperti kebanyakan orang lain yang curious, kemudian duduk di bawah.
“Kemudian
jentolak pun sampai. Hinggalah sekumpulan penduduk yang nampak dan cam kami
sebagai kumpulan pelajar dan mulakan provokasi,” jelas Adam.
Ketika itulah
Adam nampak kelibat seorang wanita yang berada di tingkat atas flat sedang
menangis kerana rumahnya bakal dirobohkan. Adam naik dan berniat untuk bertanya
kenapa agaknya wanita tersebut sekeluarga menangis walhal kumpulan penduduk
yang lain berada di bawah sedang memaki-maki wanita tersebut.
Atas dasar
simpati dan sifat ingin tahu yang menebal, Adam dan rakan-rakannya berhasrat
untuk naik ke atas dan bertemu dengan wanita tersebut. Mungkin ada perkara yang
anak-anak muda ini boleh bantu.
“Sebelum
itu kami bertanya dengan pihak Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) yang sedang
bertugas, mereka memberitahu bahawa mereka akan merobohkan rumah yang tidak
didiami sahaja. Lalu saya dan rakan-rakan naik ke atas.
“Selepas
berbual-bual dengan wanita berkenaan, kami pun turun ke bawah kerana pada saya
urusan kawasan tersebut tak perlu kami campur tangan. Ketika turun itulah saya
ditumbuk!” cerita Adam lagi.
Bagi Adam,
kejadian itu tidak disangka-sangka akan berlaku kerana dia datang semata-mata
ikhlas hendak menolong. Bagi Adam, sebagai aktivis pelajar, rasa ingin tahu
mahasiswa sepertinya terlalu tinggi. Tujuannya semata-mata untuk membantu
mereka yang memerlukan di mana perlu bukan untuk buat kacau.
“Bagi saya
semua isu mahasiswa kena ambil tahu. Mahasiswa perlu ambil peduli hal ehwal
masyarakat mereka,” luah Adam menjelaskan fungsi antara masyarakat dan
mahasiswa dengan wajah yang serius.
Mungkin
selepas rentetan daripada 17 Disember orang ramai menyangka anak muda ini akan
berhenti dari menghimpit sebarang isu.
“Kalau
sebelum ini saya mencari satu-satu isu untuk diperjuangkan, namun kini isu
sendiri yang datang berlegar mencari saya.
“Politic is politic, aktivisme mahasiswa
adalah berbeza, unik, di mana ia hanya berlaku tiga hingga empat tahun dalam
kehidupan seseorang,” beritahu Adam yang kagum sejarah mahasiswa yang memperjuangkan
nasib penduduk Baling, Teluk Gong, isu Tasik Utara sekitar tahun 1973 atau 1974.
“Kes tersebut berjaya dibawa ke mahkamah dan
penduduk menang tuntutan, pampasan. Itu yang memberi saya inspirasi,” cerita
Adam ketika ditanya lanjut kenapa anak muda ini tidak mahu berdiam diri setelah
diprovokasi.
Menyentuh isu
turun bendera, Adam menceritakan dia terpaksa
bersembunyi di sebuah kampung kerana bimbangkan
keselamatannya terancam.
Ketika bersembunyi
dan berlindung di sebuah kampung, ada seorang mak cik menyatakan sokongan dan
menjentik perasaan anak muda yang dilabel ‘budak jahat’ itu.
“Saya masih
ingat, mak cik tersebut cakap pada saya, suasana sebegini kali terakhir, dirasai
sekitar tahun 1970-an. Waktu itu, mahasiswa akan bersama masyarakat ketengahkan
satu-satu isu untuk diselesaikan.
“Maka hari
ini saya boleh nafikan kata-kata orang di luar sana yang menyelar tindakan
mahasiswa seperti kami tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat, tidak
benar sama sekali,” tegas Adam lagi.
Sebenarnya
perbualan kami berlanjutan hingga ke lewat malam, tapi kebanyakannya berkisar isu
politik, sistem dan sastera yang mungkin memakan beberapa muka surat lagi.
Nah,
dengarlah sendiri suara anak muda ini. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita
pelajari selain membuat spekulasi dari caci maki. Tepuk dada, tanya hati!
KLThugs: Teringat pulak memori ketika zaman sekolah selalu participate dalam sajak dan syair.. puisi sekian-sekian..
KLThugs: Teringat pulak memori ketika zaman sekolah selalu participate dalam sajak dan syair.. puisi sekian-sekian..