Friday, February 17, 2012

Kartunis Carlos Latuff idola rakyat Palestin





TANGANNYA menari-nari, melukis sesuatu di atas meja yang berselerak dengan kertas-kertas dan cat berwarna-warni. Hampir lima belas minit melukis, terserlah lakaran kartun sebuah kapal freedom yang membawa misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Kapal yang sarat membawa barangan makanan dan ubatan itu dilukis sedang melalui Lautan Mediterranean menuju ke Genting Gaza. Lelaki berambut keriting ini kemudian melakar pula seekor sotong kurita raksasa sedang membelit kapal berkenaan dengan lambang swastika Nazi.
Wajah sotong kurita itu digambarkan sungguh bengis, matanya merah menyala, gambaran kemarahan Yahudi menghalang misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.
Lelaki berambut keriting itu merasa puas. Memang Israel sekejam Nazi cuba menghalang misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin. Malah kekejaman Israel lebih dahsyat dari Nazi Jerman.
Keesokannya, 15 Mac 2010, lakaran kartun lelaki itu disiarkan dalam akhbar Mesir Al-Watani al-Youm. Kartun sindiran itu yang mengaitkan rejim Zionis dengan fahaman Nazi Hitler menyebabkan kedutaan Israel di Mesir menjadi berang.
Israel membuat kenyataan kepada media bahawa lakaran kartun itu sebagai satu bentuk fitnah jahat karikaturnya Carlos Latuff terhadap bangsa Yahudi.
“Banyak kenyataan dan karikatur anti-Yahudi telah disiarkan dalam media Mesir tetapi kami tidak mahu mengulas mengenainya. Tapi kali ini, karikatur ini bukan lagi menggambarkan tentang dasar Israel, tetapi merupakan fitnah, mengaitkan kami dengan Nazi Jerman,” kata jurucakap kedutaan Israel.
Reaksi segera itu mendorong kartunis berkenaan, Carlos Latuff, 44, menyindir kenyataan Duta Israel itu.
 “Duta Israel sepatutnya menunjukkan keprihatinannya terhadap rakyat Palestin sama seperti mana dia prihatin terhadap lukisan saya,” kata Carlos Latuff dalam e-melnya kepada Reuters.
Bayangkan hanya melalui lakaran kartun sahaja Carlos Latuff berjaya menggoncang maruah Israel yang gah dengan kezalimannya terhadap rakyat Palestin. Paling mengejutkan akibat tindak-tanduknya itu Carlos Latuff diharamkan menjejakkan kaki ke bumi Palestin atau Israel.
Sebelum ini, sindiran dan kritikan daripada media Mesir  berhubung tindakan tentera Yahudi menghalang kapal-kapal yang membawa misi bantuan ke Gaza langsung tidak diendahkan oleh rejim Zionis itu.
Namun kali ini, lukisan Carlos Latuff cukup menggegar sehinggakan menggugat keangkuhan Israel. Karyanya banyak mengkritik Israel sehingga dituduh sebagai anti-Semitik. Malah Latuff juga berani mengkritik askar Amerika Syarikat di Iraq dan Afghanistan.
Melalui wawancara dengan majalah mingguan Yahudi-Amerika, The Forward, pada Disember 2008, Latuff memberi reaksi terhadap  tuduhan anti-Semitik.
“Kartun-kartun saya tidak memfokuskan kepada orang Yahudi atau ajaran Yahudi. Fokus saya adalah Israel sebagai entiti politik, sebagai suatu pemerintahan, tentera mereka menjadi satelit kepentingan Amerika Syarikat di Timur Tengah, khususnya kekejaman Israel ke atas Palestin,” beritahu Latuff.













Siapa Carlos Latuff?

CARLOS Latuff dilahirkan pada 30 November 1968 di Rio De Janeiro, Brazil. Simpatinya kepada penduduk Palestin bermula sewaktu beliau membuat kunjungan pertamanya ke bumi Gaza pada akhir 1990-an.
Semasa berada di Gaza, terdetik perasaan kasihan dan sedih dalam diri Carlos Latuff apabila melihat penindasan dan kekejaman dilakukan rejim Israel terhadap penduduk Palestin yang tidak berdosa.
Dia merasa hiba apabila melihat sendiri rumah-rumah penduduk dibom, tiada bekalan air bersih, kanak-kanak Palestin tindak mendapat makanan berzat sejak sekatan ekonomi dilakukan rejim Yahudi dengan restu Amerika Syarikat.
  Secara diam-diam, Carlos Latuff, 44, berasa kagum dengan kecekalan dan semangat rakyat Palestin yang ditemui. Rata-rata mereka tidak pernah berputus asa biarpun dicengkam kemiskinan dan kelaparan.
Walaupun rakyat Palestin diperlakukan sebegitu kejam dan dizalimi, namun mereka tetap bangkit berjuang mempertahankan bumi Palestin daripada kerakusan rejim Zionis.
“Saya rasa bangga bertemu rakyat Palestin yang gagah dan berani mempertahankan tanah air mereka sendiri!” beritahu Carlos Latuff.
Bermula dari kunjungan pertama itulah, Carlos Latuff mula menyatakan sokongannya kepada rakyat Palestin yang ditindas melalui lakaran karikatur.
Karikatur lukisannya tersiar dalam pelbagai media di Timur Tengah, akhbar  di Amerika Syarikat,Turki, Lebanon dan Perancis. Antara karikatur terkenal beliau ialah IsraHell, Israel refuses lift blockade BASTARDS Gaza aid ship attacked, Nuclear Israel dan banyak lagi.
Malah, Latuff pernah memenangi pertandingan kartun Hollocaust peringkat antarabangsa di Iran pada tahun 2006.
Akibat sokongannya terhadap Palestin, Carlos Latuff  mengalami nasib sama, diharamkan oleh rejim Zionis memijak bumi Palestin mahupun Israel. Namun begitu semangat juangnya masih membara.
Carlos Latuff masih bersemangat untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman kuasa Israel. Sekarang nama Carlos Latuff menjadi idola bagi rakyat Palestin. Karikatur lukisan beliau yang menyindir Israel sentiasa dinanti-nantikan oleh para peminatnya di seluruh dunia.
Malah sebagai bukti sokongan kepada Palestin, Carlos Latuff sendiri tidak lekang dengan selendang Palestin yang dililit di bahu dan lehernya.
Kehadiran Carlos Latuff dengan lakaran kartunnya juga turut memberi suntikan semangat kepada pejuang-pejuang Palestin menentang rejim Zionis.
Walaupun Carlos Latuff tidak seagama dengan kita, namun, dia memiliki sifat berperikemanusiaan yang tinggi, tiada tolok bandingnya dengan pejuang-pejuang Palestin.
Syabas Carlos Latuff. Beliau kini bukan lagi berjuang sendirian, tetapi bersama masyarakat antarabangsa termasuk di Malaysia terus memberi tekanan kepada Israel agar lebih prihatin nasib rakyat Palestin.
Ayuh! Bebaskan bumi Palestin daripada penindasan Israel.

KLThugs: Teringat dengan komentar ustaz Hakim MyKhilafah Center Malaysia (Hizbut Tahrir) . Katanya barat bijak mengalih perhatian kita dengan menggunakan terma pergolakan Palestin dan Israel sebagai pergolakan 'tebing barat'. Walhal tidakkah kita sesama Islam ini bersaudara? Kenapa kita kata itu masalah tebing barat? Maka bijaklah mereka mengaburkan mata umat Islam dengan supaya mengasingkan pergolakan ini sebagai state, bukan sebagai Ummah.. Renungkanlah thuggers...

3 comments: